Mohd Hafizee Mohd Arop


WALAUPUN parah selepas Proton Exora dinaiki bersama bapa dan adiknya terhumban ke dalam gaung di Kilometer 27, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Kupang, malam tadi, namun Muhammad Firdaus Md Zahar, 9, berusaha untuk mendapatkan bantuan.

Kanak-kanak itu dipercayai merangkak keluar dari kenderaan terbabit sebelum naik ke atas tebing jalan bagi mendapatkan bantuan untuk bapa dan adiknya yang masih berada di dalam kenderaan berkenaan.

Usaha kanak-kanak itu berjaya apabila orang awam yang melihatnya dalam keadaan berlumuran darah memberikan bantuan termasuk menghubungi pasukan penyelamat.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, bapanya yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Bintara Muda Md Zahar Md Ali, 38, dan adiknya Muhammad Faris, 7, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Manakala, Muhammad Firdaus yang parah dibawa ke Hospital Gerik sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk menerima rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati Proton Exora dinaiki tiga beranak dari arah Gerik ke Kupang, Baling itu hilang kawalan sebaik tiba di kawasan menuruni bukit dipercayai akibat dipandu laju.

Katanya, akibat hilang kawalan menyebabkan kenderaan berkenaan terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 200 meter.

“Seorang saksi yang melalui jalan itu ternampak mangsa (Muhammad Firdaus) dalam keadaan berlumuran darah di tepi jalan menyebabkan dia berpatah balik untuk memberikan bantuan.

“Dia (saksi) dimaklumkan oleh mangsa yang bapa dan adiknya terjatuh ke dalam gaung sebelum menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Menurutnya, mayat Muhammad Faris berjaya dibawa keluar dari gaung pada 10.25 malam, manakala mayat bapanya sejam selepas itu.

Katanya, mayat dua beranak itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Katanya, hasil percakapan dengan isteri mangsa mendapati suami dan dua anaknya dalam perjalanan pulang ke kampung di Baling, Kedah untuk menziarahi ibu bapanya yang tidak sihat.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik Pegawai Bomba Kanan II Kamarul Ariffin Abdul Ghani berkata, pihaknya yang tiba selepas menerima panggilan pada 8.06 malam mendapati seorang kanak-kanak berada dalam keadaan parah.

Katanya, kanak-kanak berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Gerik dengan menggunakan kenderaan EMRS sebelum kerja-kerja menyelamat dua lagi mangsa dijalankan.

“Mayat kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan yang terjunam ke dalam gaung diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Tak sempat ziarah ibu bapa'

Dua beranak maut, kereta masuk gaung...

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 6:49 PM