MAZLAN (empat dari kiri) menunjukkan barangan dirampas daripada penganjur Bookcoins. FOTO Nur Shazreen Zamzuri
MAZLAN (empat dari kiri) menunjukkan barangan dirampas daripada penganjur Bookcoins. FOTO Nur Shazreen Zamzuri
Iskandar Shah Mohamed


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor menumpaskan sindiket penipuan skim pelaburan cepat kaya dikenali 'Bookcoins' membabitkan kerugian RM2.1 juta dengan tertangkapnya dua lelaki bergelar Datuk Seri dan Datuk di Desa Park City, Kuala Lumpur, 3 Ogos lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, serbuan jam 11 pagi itu dijalankan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh susulan laporan polis dibuat empat mangsa awal bulan ini.

“Berdasarkan siasatan, sindiket yang didalangi dua lelaki berusia 40-an itu aktif sejak pertengahan 2016 dengan menjanjikan pulangan keuntungan satu peratus sehari.

“Mereka yang bergerak secara dalam talian itu kononnya menawarkan tiga pakej iaitu ‘Gold’, ‘Silver’ dan ‘Bronze’ membabitkan pelaburan RM100,000 hingga RM500,000.

“Bagaimanapun, selepas tempoh tertentu, mangsa gagal mendapat pulangan yang dijanjikan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Menurut beliau, hasil serbuan di dua rumah berasingan itu, pihaknya merampas wang tunai RM1.06 juta termasuk mata wang asing.

“Selain Porshe Macan dan Toyota Vellfire, kami turut merampas 35 beg tangan dan 17 jam berjenama serta 26 buku cek pelbagai akaun. Keseluruhan rampasan berjumlah kira-kira RM1.05 juta,” katanya.

Menurut Mazlan, penahanan itu membantu menyelesaikan empat kes penipuan dan kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurut beliau, kira-kira 200 individu menyertai skim Bookcoins itu di sekitar Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 3:59 PM