Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menahan 14 individu termasuk dua bergelar Datuk di Selangor, Melaka, Pahang, Kelantan dan Pulau Pinang untuk membantu siasatan berhubung kes penipuan skim pelaburan membabitkan nilai sebanyak RM 35 juta,kelmarin.

Tangkapan dibuat Bahagian Operasi, Risikan, Teknikal, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JKSK) Bukit Aman, Pasukan Khas Siasatan Bersepadu (PKSB) dan pasukan Pencegahan dan Penggubahan Wang Haram (AMLA).

Menurut sumber polis, 14 yang ditahan dipercayai ahli sindiket berkenaan termasuk dua Datuk yang menjadi dalang utama skim berkenaan.

Katanya, turut dirampas sembilan kereta mewah antaranya Range Rover Evoque, Mercedes Benz, Honda Accord, Volkswagen, Toyota Caldina, Toyota Prius, Toyota Vios dan Proton.

"Beberapa barang kemas, beg berjenama, buku bank, kad bank, borang pelaburan dan telefon serta komputer yang dipercayai digunakan untuk operasi sindiket ini turut dirampas,"katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 10:04 PM