GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis sedang menyiasat sindiket penipuan pelaburan dikenali sebagai Zuttelo membabitkan kerugian lebih RM84 juta.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, pihaknya sudah menerima 220 laporan polis di seluruh negara sejak Ogos lalu membabitkan kerugian RM84,579,831.76.

Menurutnya, kes disiasat mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Siasatan mendapati kegiatan pelaburan ini mula aktif sejak 2020 sehingga laman sesawang syarikat itu ditutup Ogos lalu.

"Skim pelaburan ini menawarkan sembilan pakej pelaburan dengan jumlah pelaburan antara USD630 hingga USD12,700," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setiap pelabur dijanji pulangan minimum 16.5 peratus sebulan.

"Mana-mana pelabur yang berminat perlu mendaftar melalui aplikasi www.8liga.net dan diberi pilihan sama ada melabur dalam wang tunai atau mata wang kripto.

"PDRM mengingatkan orang ramai berwaspada dan membuat semakan sebelum menyertai skim pelaburan," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan sindiket penipuan pelaburan dikenali sebagai Zuttelo didakwa sudah menjerat kira-kira 10,000 mangsa dengan kerugian kira-kira RM3 bilion dalam tempoh dua tahun lalu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada ratusan mangsa yang menjadi mangsa penipuan itu.

"Kami difahamkan sindiket ini bergerak aktif sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan majoriti mangsa terdiri daripada masyarakat Cina termasuk warga emas.

"Mangsa ditawarkan skim pelaburan pelbagai pakej termasuk disertakan dengan insurans dengan kadar pulangan dividen yang tinggi iaitu sekitar 17 peratus sebulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 11:41 AM