GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO AFP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO AFP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebanyak 84 akaun bank milik syarikat dan individu yang disyaki digunakan bagi kegiatan penipuan mata wang kripto dikenali 'Accerx' disekat Polis Diraja Malaysia.

Tindakan itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) yang menjalankan siasatan berhubung kes penipuan itu.

Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJK, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, sebanyak 124 laporan polis membabitkan kerugian RM90.36 juta diterima sejak November tahun lalu.

"Siasatan yang dijalankan setakat ini berjaya mengenalpasti 73 syarikat perniagaan dan sebanyak 83 akaun bank syarikat serta satu akaun bank individu yang disyaki digunakan dalam kegiatan penipuan sindiket itu.

"PDRM sudah menyekat kesemua akaun bank berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, seorang lelaki berusia 24 tahun yang berperanan sebagai keldai akaun juga sudah dituduh mengikut Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Sabah di mahkamah di Keningau, Sabah, kelmarin.

Menurut Rohaimi, kerugian tertinggi yang direkodkan setakat ini adalah RM11.13 juta membabitkan seorang lelaki berusia 60 tahun yang membuat laporan di Balai Polis Sentul, pada 30 Januari lalu.

"Pengadu yang juga pengarah syarikat mendakwa terpedaya dengan skim pelaburan mata wang kripto yang diiklankan di laman sosial Facebook pada September tahun lalu.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau mengingatkan mana-mana individu yang masih berurusan dengan skim pelaburan itu supaya berhenti melakukannya dan membuat laporan di balai polis berhampiran.

Kata beliau, sebagai langkah pencegahan kepada orang ramai yang ingin terbabit urusniaga mata wang kripto dinasihatkan membuat semakan di laman web www.coinmarketcap.com selain merujuk agensi berkaitan termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

From: Aina

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 7:42 PM