MANGSA menunjukkan laporan polis, transaksi wang dan dokumen pelaburan ketika mengadakan pertemuan  di Hotel Putra.
MANGSA menunjukkan laporan polis, transaksi wang dan dokumen pelaburan ketika mengadakan pertemuan di Hotel Putra.
Asrizal Aris


Kuala Lumpur: Menjadikan beberapa tahfiz sebagai ‘anak angkat’ dan melantik seorang ustaz sebagai penasihat syariah untuk mengadakan proses akad jual beli patuh syariah ketika membuat pembayaran pakej pelaburan emas.

Itu taktik sepasang suami isteri yang menganjurkan skim pelaburan emas bertopengkan pertubuhan koperasi sehingga memperdayakan 2,400 mangsa warga tempatan membabitkan kerugian RM24 juta dalam tempoh setahun.

Untuk meyakinkan mangsa, dalang pelaburan palsu itu turut memalsukan identiti dengan gelaran Datuk dan mendakwa kononnya dia dan isterinya mempunyai lombong dan kilang bekalan emas di Kelantan.

Menariknya, selepas disiasat mereka hanyalah penjual pena pemacu di pasar raya sebelum memiliki sebuah kedai emas di Shah Alam.

Kegiatan pasangan suami isteri itu didedahkan oleh 10 individu yang menjadi mangsa pelaburan emas dianjurkan lelaki yang dikenali sebagai ‘Datuk Man’ yang menawarkan pulangan lumayan.

Ahli perniagaan yang mahu dikenali sebagai Din, 57, berkata, dia mengalami kerugian setengah juta ringgit selepas tertipu dengan tawaran menarik Datuk Man yang memulakan kegiatan pelaburan emas palsu itu sejak 2014.

Menurut Din, pelbagai pakej disediakan bermula serendah RM155 bagi satu gram emas sehingga RM775,000 bagi lima kilogram emas yang ditawarkan melalui media sosial, selain promosi dibuat kepada pelanggan kedai emas.

“Kepercayaan kami lebih kuat apabila keperibadian Datuk Man tidak ubah seperti ustaz dan mempunyai penasihat syariah yang dilantik untuk proses akad jual beli patuh syariah ketika membuat pembayaran pakej emas yang dipilih,” katanya ketika ditemui di Hotel Putra, baru-baru ini.

Menurut Din, lebih menarik pelaburan terbabit menjanjikan pulangan lumayan apabila peserta menerima komisen bulanan (hibah) selama 10 bulan sementara menunggu tempahan emas dipilih mengikut pakej disediakan.

Katanya, setiap peserta perlu mendaftar sebagai ahli koperasi yang disertakan sijil ahli yang dicap suruhanjaya induk sebelum membuat perjanjian membabitkan proses akad jual beli patuh syariah.

Pesara yang mahu dikenali Mat, 59, berkata, proses akad itu dibuat penasihat syariah yang disertai dengan lafaz akad membabitkan beberapa potongan ayat suci menjadikan peserta lebih yakin dengan pelaburan terbabit.

Menurut Mat, pada tiga bulan pertama semua peserta menerima komisen bulanan masing-masing membuatkan peserta semakin rancak melabur termasuk mengajak keluarga dan rakan untuk menyertai skim terbabit.

“Namun, selepas masuk bulan keempat dan seterusnya kami semakin dapat menghidu bahawa kami ditipu Datuk Man dan isterinya mengenai pelaburan ini termasuk dakwaan lombong emas yang tidak wujud.

“Kami berpakat membuat laporan polis sejak penghujung 2015 sehingga awal tahun lalu membabitkan 282 laporan serta membawa perkara itu ke mahkamah,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Mat, bagaimanapun mereka kalah dalam perbicaraan di mahkamah kerana tiada bukti kukuh mengenai jenayah penipuan itu dan diarah merujuk kes penipuan itu ke Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan dibawa ke tribunal.

Katanya yang kerugian RM240,000, SKM bertindak mengeluarkan arahan membubarkan koperasi yang terbabit dengan penipuan itu namun tiada siasatan lanjut dilakukan selepas itu.

Mangsa yang mahu dikenali Azie, 56, berkata, meskipun ramai mangsa yang sudah berputus asa, dia dan beberapa rakan merujuk semula kes di Mahkamah Rayuan serta membuat laporan baru pada pihak berkuasa sejak awal tahun ini dengan harapan dalang penipuan menerima balasan.

“Saya kerugian RM300,000 hasil pelaburan keluarga dan kesannya anak saya terpaksa berhenti menyambung pelajaran di universiti awam selain dikecam keluarga sendiri dan kenalan kerana mengajak mereka menyertai skim ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, berdasarkan semakan terbaru, pihaknya menerima laporan membabitkan pelaburan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 4:21 AM