MAKLUMAT bagi kemasukan 2017 yang digunakan.
MAKLUMAT bagi kemasukan 2017 yang digunakan.
Nursyahirah Marzuki


KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan hebahan permohonan kemasukan ke Tingkatan 1 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sesi 2018/2019.

KPM dalam satu kenyataan berkata, hebahan berkenaan menggunalan gambar portal permohonan ke SBP pada 2017.

"Maklumat yang tertera dalam laman Web terbabit menggunakan maklumat bagi kemasukan tahun 2017 tetapi tajuk ditukar kepada sesi 2018/2019.

"Kita kesal dengan laman Web berkenaan yang sudah tular di media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya, hari ini.

Katanya, KPM juga sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat pihak yang membuat maklumat berkenaan.

"Oleh itu, kita memohon netizen menghentikan penyebaran maklumat palsu berkenaan supaya ia tidak mewujudkan sebarang kekeliruan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat.

"Mereka boleh melayari laman Web rasmi KPM di www.moe.gov.my bagi mendapatkan sebarang maklumat sahih berkaitan pendidikan," katanya.

Sehingga ini, permohonan ke Tingkatan 1 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi sesi 2018/2019 belum dibuka lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 12:43 PM