Mary Victoria Dass


LARIAN Obor Kuala Lumpur 2017 sempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN Ke-9 bakal memulakan jelajahnya dengan destinasi pertama di Johor Bahru, pagi esok.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata siri larian itu diteruskan daripada Larian Baton Bangkit Bersama yang menjelajah ke negara Asia Tenggara bermula dari Brunei ke destinasi terakhir, Singapura, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima baton di negara republik itu yang diserahkan oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Singapura, Grace Fu Hai Yen.

Menurutnya, ia dibawa masuk ke Johor Bahru menerusi Keretapi Tanah Melayu dan di Muzium Tokoh Johor dan ia diserahkan kepada maskot RIMAU sebelum pihaknya menerima obor.

Katanya, obor diserahkan kepada wakil Menteri Besar Johor iaitu Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan sebagai tanda permulaan Larian Obor KL2017.

“Obor berkenaan akan dibawa dalam suatu larian mengelilingi bandar raya Johor Bahru dan akan merentasi enam daerah di Johor membabitkan jarak sejauh 90 kilometer sebelum ke negeri lain.

"Larian Obor akan dibawa melalui tempat-tempat ikonik yang terpilih di seluruh negara termasuk di ruang angkasa dan lautan, menjadikan larian ini unik," katanya.

Kira-kira 1,000 warga Johor akan menyertai Larian Obor KL2017 di Johor.

Acara kemuncak adalah apabila obor ini dibawa masuk ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyalakan api KL2017 pada malam pembukaan KL2017 pada 19 Ogos 2017.

Api ini akan menyala secara berterusan sehingga dipadamkan ketika upacara penutup, menandakan tamatnya temasya sukan berkenaan.

Larian Obor adalah sebahagian daripada tradisi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN sejak ia berlangsung dan selari dengan tradisi pelbagai sukan di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2017 @ 3:27 PM