MUSA Ahmad. FOTO ihsan USIM
MUSA Ahmad. FOTO ihsan USIM
Raja Noraina Raja Rahim


PROF Datuk Dr Musa Ahmad kekal sebagai Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk dua tahun lagi apabila diberi kepercayaan untuk terus menerajui kepimpinan itu.

Pelantikan baru itu bermula 16 Ogos ini hingga 15 Ogos 2019 selepas tempoh lantikan semasa beliau selama tiga tahun akan tamat pada 15 Ogos ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh mengucapkan tahniah kepada Dr Musa atas pelantikan itu mengikut Seksyen 12(1) Perlembagaan USIM.

"Kementerian turut meletakkan harapan kepada Dr Musa untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik dan cemerlang kepada universiti," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan USIM, hari ini.

Sementara itu, Dr Musa berkata, pelantikan semula itu adalah satu pengiktirafan yang diberikan Kementerian terhadapnya.

“Pelantikan ini peluang untuk saya meneruskan kesinambungan segala perancangan yang dibuat terutamanya dalam menjayakan Pelan Strategik USIM 2016-2025.

"Selain itu, keutamaan lain yang turut menjadi fokus ialah memastikan projek pembangunan fizikal kampus seperti pembinaan kolej kediaman baru dan hospital pengajar dapat direalisasikan," katanya.

Katanya, fokus utama lain ialah memantapkan struktur agenda integrasi ilmu naqli dan aqli yang menjadi teras universiti.

Dr Musa berasal dari Muar Johor, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (kelas pertama) dalam bidang Kimia di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1985.

Beliau kemudian mendapat ijazah sarjana dalam Sains Analisis dan Instrumen daripada Universiti Manchester pada 1987 dan Ijazah Doktor Falsafah pada 1994 dalam bidang Pengesan Kimia Fiber Optikal, juga daripada universiti yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 3:33 PM