PASANGAN kembar, Najibah (kiri) dan Najihah.
PASANGAN kembar, Najibah (kiri) dan Najihah.

Nilai: Sepasang kembar bangga berjaya meraih ijazah bersama-sama meskipun mengikuti jurusan berlainan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini.

Pasangan itu, Najibah dan Najihah Saiful Bahrin berusia 24 tahun, kini graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kimia Industri dan Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan antara yang menerima ijazah mereka dalam Majlis Konvokesyen Ke-12 USIM.

Najibah berkata, mereka tidak pernah berpisah sejak kecil sehinggalah pengajian di universiti dan walaupun mengambil jurusan berlainan tetapi tetap meluangkan masa untuk belajar dan membuat tugasan di perpustakaan.\

“Saya dan Najihah adalah kakak pertama dan kedua daripada lapan beradik. Kejayaan ini diharap memberi inspirasi kepada adik-adik untuk berjaya.

“Selain kami, sepasang lagi adik kembar, Mohd Fathi dan Fatyhiyah, 22, turut menyambung pengajian di sini (USIM),” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen di sini, kelmarin.

Menurutnya, walaupun masing-masing sudah berkahwin, namun berhasrat menyambung pengajian ke peringkat pasca siswazah di universiti itu, juga bersama-sama.

Katanya, bapa Saiful Bahrin Abu, 50, dan ibu Nuri Abdul Hak, 50, masing-masing pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato Haji Abu Hassan Haji Sail, Pedas dan SMKA Rantau, adalah inspirasi dan pendorong mereka untuk berjaya.

“Sejak sekolah kami mengambil pendekatan belajar dan mengulangkaji bersama untuk mendapat keputusan yang baik dan bersyukur dapat menyambung pengajian ke peringkat matrikulasi di sini, sebelum pengajian peringkat ijazah ,” katanya.

Seramai 1,689 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah sempena Majlis Konvokesyen ke-12 USIM yang berlangsung selama dua hari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 5:11 AM