Ismail (dua kiri) dan Anuar Salam  (kiri) bergambar bersama sebahagian 150 peternak ikan selepas menyampaikan bantuan El-Nino pada Program Perundingan Industri Akuakultur Negeri Kelantan 2017 di Dewan Resort Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Ismail (dua kiri) dan Anuar Salam (kiri) bergambar bersama sebahagian 150 peternak ikan selepas menyampaikan bantuan El-Nino pada Program Perundingan Industri Akuakultur Negeri Kelantan 2017 di Dewan Resort Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi


PENGELUARAN ikan negara diyakini mampu capai sasaran tiga juta tan metrik setahun menjelang 2020 susulan pelbagai inisiatif penambahbaikan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

Ini termasuklah memperketatkan syarat lesen, memperkukuhkan sistem pendaratan ikan di pelabuhan perikanan utama dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan penggunaan Pas Keluar Masuk Vesel Laut Dalam di Pangkalan Pendaratan Ikan.

Ketua Pengarah Perikananan Datuk Ismail Abu Hassan berkata, ketika ini pengeluaran ikan negara sebanyak dua juta tan metrik setahun yang bernilai RM13.02 billion.

"Kita sedang usaha meningkatkan jumlah pengeluaran termasuk ikan akuakultur dan laut yang sekali gus mengurangkan jurang import sumber protein itu.

"Rekod semasa menunjukkan negara terpaksa mengimport ikan daripada luar sebanyak 300,000 tan metrik setahun atau RM3.6 bilion berbanding nilai ikan yang kita eksport RM2.7 bilion.

"Sehubungan itu, kita menggandakan pelbagai inisiatif bagi tujuan ini dan yakin sasaran (pengeluaran ikan) dapat dicapai," katanya selepas merasmikan Program Perundangan Industri Akuakultur Negeri Kelantan 2017 di PCB Resort, Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kanan Bahagian Biosekuriti Perikanan, Dr Marzuki Hashim; Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Latihan dan Kemajuan Kerjaya, Abd Khalil Abd Karim dan Pengarah Perikanan Negeri Kelantan, Anuar Salam Sulaiman.

Terdahulu, Ismail menyampaikan sumbangan wang ihsan berjumlah RM73,900 kepada 150 peternak ikan di Kelantan yang terjejas akibat fenomena El-Nino, tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengeluaran ikan akuakultur di Kelantan dijangka meningkat RM300 juta pada tahun ini, malah negeri itu berpotensi tinggi untuk mendominasi pasaran jenis ikan berkenaan.

Kelantan ketika ini mengeluarkan hampir 4,000 tan metrik ikan akuakultur pelbagai spesis, setiap tahun.

"Antara spesis ikan yang dihasilkan, ikan kerapu hybrid, keli, talipia, dan patin membabitkan 1,000 penternak dengan kawasan ternakan melebihi 280 hektar.

"Kami menjangkakan ia akan terus meningkat dengan strategi peneluaran sektor akuakultur pada masa ini ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 8:38 PM