Teks dan gambar oleh Mohd Amin Jalil


Bidang akuakultur sudah dikenal pasti sebagai sebahagian daripada sumber utama yang diberikan tumpuan oleh Jabatan Perikanan.

Ia sebagai usaha meningkatkan pengeluaran ikan bagi menjamin bekalan makanan untuk negara mencukupi pada masa depan.

Justeru, jabatan itu kini memberi fokus kepada usaha memperkasakan program pembangunan bagi meningkatkan pengeluaran akuakultur.

Bukan saja memastikan bekalan mencukupi, malah untuk menjana pendapatan eksport ikan dan produk berkaitan.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pembangunan) Datuk Ismail Abu Hassan berkata, aktiviti pengeluaran makanan diharap dapat mengimbangi pembangunan ekonomi antara bandar dan luar bandar, sekali gus membasmi kemiskinan.

Katanya, jabatan itu antara agensi pelaksana Dasar Agro-Makanan menjelang 2020.

Tumpuan katanya, membabitkan empat bidang utama iaitu industri perikanan tangkapan secara mampan, pertumbuhan pertanian bernilai tinggi bagi akuakultur, ikan hiasan dan rumpai laut.

"Kami (Jabatan Perikanan) kini memperhalusi pelan tindakan ini melalui program transformasi agro-makanan dalam memastikan kemampanan pengeluaran melalui Dasar Pengeluaran Akuakultur 2013.

"Dasar baru ini menetapkan sasaran pengeluaran akuakultur sebanyak 1.76 juta tan metrik setahun menjelang 2020 iaitu menyumbang 50 peratus kepada pengeluaran perikanan negara," katanya.

Justeru itu katanya, pe-ngeluaran akuakultur perlu ditingkatkan 24.6 peratus setahun mulai 2015.

"Ini cabaran besar yang perlu dilaksanakan dengan kerjasama pihak industri bagi menjadikan bidang akuakultur negara setanding negara lain seperti China, India, Indonesia, Thailand dan Vietnam," katanya selepas merasmikan Konvensyen dan Pameran Keli Dari Ladang Ke Pengguna 2014 di Institut Penyelidikan Perikanan Air Tawar Glami Lemi, Jelebu Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Turut hadir Pegawai Daerah Jelebu Mohamed Roduan Ujang, Pengarah Bahagian Akualkultur Dr Marzuki Hashim, Pengarah Perikanan Negeri Sembilan Tengku Balkis Tengku ­Shahar dan Pengarah institut berkenaan, Dr Mohamad Fariduddin Othman.

Bagi merealisasikan sasaran yang ditetapkan itu dan memberi faedah kepada kumpulan sasar, kata­nya, Jabatan Perikanan sudah menetapkan indikator prestasi utama (KPI) dengan menggariskan tujuh kriteria penting.

Beliau berkata, kriteria itu membabitkan peningkatan kadar pertumbuhan pengeluaran tahunan akuakultur dari 12.4 kepada 24.6 peratus.

Selain itu membabitkan pendapatan bersih penternak kepada lebih RM4,000 sebulan, meningkatkan penggunaan dan eksport ikan dan seratus peratus ladang komersial memperoleh sijil Amalan Akuakultur Terbaik.

"Ia juga bagi meningkatkan pengeluaran baka berkualiti akuakultur seperti ikan tilapia, keli, patin, udang galah, udang harimau, siakap dan kerapu serta memastikan seratus peratus perlesenan ladang," katanya.

Menurutnya, sasaran yang ditetapkan itu tidak mungkin tercapai tanpa kerjasama dan komitmen penternak.

Justeru itu katanya, tiga strategi akan dilaksanakan jabatan itu mulai tahun depan iaitu meningkatkan produktiviti penternak dengan sasaran menyumbang 40 peratus atau 705,000 tan metrik setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 5:00 AM