AHMAD (dua kiri) merasmikan kempen Jom Makan Ikan Air Tawar. FOTO Aziah Azmee
AHMAD (dua kiri) merasmikan kempen Jom Makan Ikan Air Tawar. FOTO Aziah Azmee
Suraya Roslan


Ampang: Sasaran 40 peratus pengeluaran sektor akuakultur dijangka mampu mengatasi bekalan kekurangan ikan dalam negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, kerajaan menyasarkan sumbangan sektor akuakultur sebanyak 40 peratus kepada keseluruhan pengeluaran perikanan Malaysia menjelang 2030.

"Pembangunan akuakultur dilihat amat berpotensi untuk dimajukan secara komersial bagi meningkatkan pengeluaran dan menjamin bekalan ikan dalam negara selain ikan sumber laut.

"Industri akuakultur negara perlu diperkukuh supaya lebih berdaya maju dan mampu menampung sumber protein daripada ikan air tawar termasuklah meningkatkan prestasi rangkaian di semua aktiviti yang berkaitan pengeluaran, pemprosesan, pengedaran, penyediaan, dan keselamatan makanan daripada sumber kolam yang di akreditasi (myGAP)," katanya.

Beliau ditemui ketika Program Jelajah Perikanan Jom Makan Ikan Air Tawar peringkat Selangor di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia Sufian Sulaiman dan Pengarah Perikanan Selangor Noraisyah Abu Bakar.

Ahmad berkata, sektor perikanan sememangnya diberikan perhatian dalam Jawatankuasa Kabinet mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara dan Dasar Agromakanan 2.0 yang digubal oleh kerajaan.

"Perancangan hala tuju Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) serta Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) adalah selaras dengan dasar dan hala tuju sedia ada serta masa akan datang," katanya.

Katanya, pada 2020, subsektor akuakultur mencatatkan pengeluaran sebanyak 400,000 tan metrik yang bernilai RM3.6 bilion iaitu 22 peratus daripada pengeluaran ikan negara.

"Sektor akuakultur dilihat memainkan peranan penting dari tiga sudut iaitu sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara, strategi membasmi kemiskinan dan sebagai sumber utama makanan yang menjadi keperluan penduduk negara ini.

"Untuk memenuhi tiga objektif ini, kolaborasi pemasaran seperti Lotus Malaysia memainkan peranan penting sebagai ejen pemasaran produk perikanan dan pemangkin sektor akuakultur," katanya.

Sementara itu, Sufian berkata, industri perikanan komersil mula diperkenalkan dalam 1960-an.

"Stok perikanan negara pada masa itu dilaporkan berada pada tahap 2,000 kilogram.

"Namun, kemajuan teknologi perikanan serta ancaman seperti kemerosotan ekosistem air tawar dan marin akibat pembangunan dan pencemaran serta ancaman semula jadi menyebabkan kemerosotan sumber perikanan negara apabila pada 2010-an, stok perikanan negara dilaporkan hanya pada tahap 200 kilogram.

"Selaku agensi kerajaan yang mempelopori industri perikanan di negara ini, Jabatan Perikanan amat memandang serius terhadap isu kemerosotan sumber perikanan yang dihadapi di negara ini," katanya.

Menurutnya, sebagai langkah membanteras perkara ini daripada menjadi lebih kritikal, ternakan akuakultur mula diperkenalkan di Malaysia bermula daripada tahun 1930-an.

"Akuakultur menurut Akta Perikanan 1985 bermaksud pembiakan benih ikan atau pemeliharaan biak ikan melalui perusahaan ternak keseluruhan atau sebahagian daripada peredaran hidupnya.

"Ternakan ini membabitkan sistem ternakan kolam, sangkar, tangki simen, tangki kanvas, bekas lombong dan banyak lagi manakala penternakan akuakultur adalah satu kaedah alternatif bagi menjamin bekalan ikan negara sentiasa berterusan," katanya.

Menurutnya, spesies ikan akuakultur air tawar utama ialah ikan keli, tilapia merah, keli, patin dan udang galah.

"Pengeluaran ikan keli, tilapia merah, patin, tilapia hitam dan udang galah masing-masing adalah sebanyak 29,000 tan metrik, 28,000 tan metrik, 18,000 tan metrik, 3,000 tan metrik dan 190 tan metrik.

"Manakala dari segi nilai pula masing-masing bernilai RM129,000, RM290,000, RM132,000, RM29,000 dan RM12,000," katanya.

Katanya, berdasarkan laporan data perangkaan Jabatan Perikanan Malaysia 2020, mencatatkan bilangan sebanyak 528 orang penternak akuakultur air tawar dan payau dan 179 orang daripadanya adalah terdiri daripada penternak akuakultur air tawar dengan jumlah keluasan ternakan sebanyak 66,293.43 hektar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 8:01 PM