Hayati Ibrahim


JABATAN Penerbangan Awam (DCA) memandang serius isu kelewatan perlepasan yang sering berlaku kebelakangan ini terutama membabitkan penerbangan dari KLIA/klia2 ke beberapa destinasi utama di China.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, berdasarkan statistik dan data berhubung pergerakan pesawat di dua lapangan terbang itu, kelewatan di waktu pagi, petang dan malam mencatatkan peningkatan tahun ini dari Januari hingga Mei berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, situasi ini berlaku disebabkan gabungan beberapa sebab termasuk kesesakan ruang udara/ lapangan terbang terutama di China, kekangan ruang udara yang dikenakan terhadap penerbangan awam atau komersial dan penyimpangan cuaca skala besar yang menjejaskan kapasiti ruang udara.

Beliau turut menjelaskan, setiap penerbangan dari mana-mana tempat keberangkatan tertakluk kepada kesediaan negara destinasi atau negara di sepanjang laluan untuk menerima penerbangan itu.

"Peratusan kelewatan penerbangan ketika berlepas di KLIA/klia2 berbeza-beza antara sembilan hingga 37 peratus, meningkat antara dua hingga 23 peratus apabila dibandingkan dengan bulan sama pada 2016.

"Kelewatan ini memberikan impak ekonomi kepada kedua-dua pihak iaitu syarikat penerbangan dan penumpang terutama dari segi masa dan perbelanjaan,"katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di

Putrajaya, hari ini.

Azharuddin berkata, masa penumpang akan terbuang akibat kelewatan penerbangan, pembatalan dan ketinggalan penerbangan sambungan, serta perbelanjaan untuk makanan dan penginapan akibat terkandas di tempat keberangkatan.

Menurutnya, sebagai langkah mengatasi masalah itu, Malaysia serta negara lain di rantau ini bersama Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) sedang merumuskan tindakan bersesuaian untuk mengurangkan kekangan udara atau lapangan terbang itu.

"Ia bertujuan mengurangkan isu kelewatan perlepasan penerbangan dan paling utama mengurangkan kesan penangguhan kepada pengangkutan awam udara,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 6:07 PM