NAJIB  melihat model KL ATCC sambil diberi penerangan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman pada  majlis pecah tanah, semalam.
NAJIB melihat model KL ATCC sambil diberi penerangan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman pada majlis pecah tanah, semalam.
Mohd Husni Mohd Noor


Sepang: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, bakal mengendalikan 108 pergerakan pesawat dalam tempoh sejam sebaik Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara KL (KL ATCC) beroperasi sepenuhnya pada penghujung 2019.

Keupayaan baru itu menjadikan KLIA sebagai antara lapangan terbang yang mengendalikan pergerakan pesawat tertinggi di dunia menerusi tiga landasan utama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, operasi kawalan trafik udara di KL ATCC membolehkan KLIA beroperasi pada tahap maksimum.

Beliau berkata, ia sekali gus menjadikan KLIA satu-satunya lapangan terbang di ASEAN, malah antara tiga di Asia yang mempunyai tiga landasan selain dua di China masing-masing di Shanghai dan Beijing.

“Peningkatan pergerakan pesawat itu dipercayai dapat memberikan pulangan lumayan kepada negara melalui perkembangan industri penerbangan yang berterusan.

“Pembinaan KL ATCC akan menjadi titik permulaan pelaksanaan penstrukturan semula Ruang Udara Kuala Lumpur atau lebih dikenali sebagai Kuala Lumpur Flight Information Region (KL FIR),” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah KL ATCC di KLIA semalam.

Hadir sama Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan timbalannya Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

Katanya, projek berkenaan juga menjadi satu lagi mercu tanda penting dalam industri penerbangan awam negara selain membantu melancarkan dasar transformasi negara serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam negara.

Najib berkata, struktur ruang udara baru di Semenanjung Malaysia ini dijangka mampu untuk berdaya tahan sekurang-kurangnya bagi tempoh 20 tahun akan datang, sekali gus memberi manfaat lebih besar kepada industri penerbangan awam negara.

Katanya, KL ATCC dibangunkan dengan kos RM650 juta di mana ia akan mengubah keseluruhan infrastruktur kawalan trafik udara bagi KL FIR membabitkan sistem kawalan trafik yang dipertingkat dari segi kemajuan teknologi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 5:03 AM