PENUMPANG AirAsia memenuhi ruangan kaunter daftar masuk di KLIA2.
PENUMPANG AirAsia memenuhi ruangan kaunter daftar masuk di KLIA2.

Sepang: Hanya kerana beberapa juruterbang gagal hadir bertugas kerana demam selesema, beberapa penerbangan AirAsia Bhd (AirAsia) terpaksa ditangguhkan dan dijadualkan lewat berlepas.

Keadaan itu menyebabkan ruang legar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) termasuk kaunter daftar masuk; tempat menunggu dan terminal perlepasan sesak dengan ratusan penumpang.

Tinjauan Harian Metro semalam mendapati, ada penumpang yang terpaksa menunggu lebih tujuh jam sementara menanti penerbangan seterusnya sekali gus menimbulkan kemarahan penumpang.

Difahamkan, kesesakan penumpang bermula malam kelmarin selepas beberapa penerbangan domestik dan antarabangsa terpaksa dibatalkan disebabkan ketiadaan juruterbang gantian.

Jurucakap AirAsia ketika dihubungi mengesahkan bahawa seramai 13 juruterbangnya tidak dapat hadir bertugas sejak kelmarin dan semalam apabila mengalami jangkitan demam selesema.

Sementara itu, rata-rata penumpang yang ditemui melahirkan rasa kecewa dengan kelewatan penerbangan berkenaan.

Seorang ejen insurans yang mahu dikenali sebagai Hafiz, 34, berkata, dia terpaksa menangguhkan pertemuan dengan beberapa pelanggannya di Kota Bharu, Kelantan gara-gara penerbangan ditangguh beberapa kali.

Beliau berkata, dia bersama beberapa rakan sekerja tiba di klia2 sejak jam 10 pagi bagi menaiki pesawat jam 11.25 pagi sebelum dimaklumkan penerbangan terpaksa ditangguhkan ke jam 1.05 tengah hari.

“Sehingga kini (setakat jam 6 petang), saya belum dimaklumkan oleh kakitangan AirAsia bila penerbangan seterusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 5:30 AM