LIOW mencuba WiFi di dalam pesawat Malindo Air. Turut sama Chandran (kiri).
LIOW mencuba WiFi di dalam pesawat Malindo Air. Turut sama Chandran (kiri).
Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Malindo Air melancarkan penerbangan sulung yang dilengkapi dengan perkhidmatan Malindo WiFi dalam pesawat dengan kelajuan 256 Mbps pada ketinggian 10,000 meter di ruang udara.

Penerbangan julung kali itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), turut menawarkan sistem rangkaian Malindo Mobile yang membolehkan penumpang membuat panggilan telefon dan menghantar mesej menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Chandran Rama Muthy berkata, ini adalah syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan rangkaian Internet kepada penumpang.

Perkhidmatan ini disediakan pada tiga unit pesawat Boeing 737-900ER milik Malindo Air yang boleh dinikmati dengan kadar caj berpatutan.

“Dengan adanya perkhidmatan Internet ini, penumpang boleh melayari laman web, e-mel, media sosial termasuk menghantar SMS dan panggilan suara.

“Malindo Air bekerjasama dengan Panasonic Avionic dan Aeromobile untuk memantapkan perkhidmatan ini dari semasa ke semasa.

“Selain itu, penumpang disediakan dengan majalah Malindo Mag yang penuh dengan maklumat lokasi pelancongan menarik dan maklumat terkini dalam negara,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancarannya di KLIA2, semalam.

Perasmian disempurnakan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abd Rahman.

Menurutnya, perkhidmatan ini kini hanya membabitkan pesawat penerbangan dari Kuala Lumpur ke Delhi dan Mumbai, India.

Malindo Air jangka akan melengkapkan semua enam pesawat Boeing 737-900ER dengan perkhidmatan ini menjelang akhir tahun ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ini adalah satu pencapaian syarikat penerbangan tempatan yang mampu meningkatkan pelancong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 6:23 AM