ANGGOTA MOSAR membawa mangsa turun.
ANGGOTA MOSAR membawa mangsa turun.

Ranau: Impian seorang pelancong wanita warga Filipina menakluk puncak gunung Kinabalu tidak kesampaian apabila mengalami komplikasi pernafasan di bilik di Laban Rata, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.15 malam, Jennifer Celine Langi, 25, berehat di biliknya selepas membuat pendakian sehari suntuk untuk ke Laban Rata.

Difahamkan, mangsa sepatutnya dijadualkan bergerak mendaki puncak gunung Kinabalu pada tengah malam, tetapi dia mengalami akut gunung AMS, hipertermia dan sesak nafas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Jimmy Lagung berkata, pasukan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Mencari Dan Menyelamat Di Gunung (MOSAR) dimaklumkan mengenai kejadian dan segera ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, saya mendapati seorang pendaki terkena AMS dan hipertermia.

“Anggota MOSAR dan anggota Unit Mencari dan Menyelamat Taman Kinabalu (ParkSAR) membawa mangsa turun ke stesen Layang-Layang pada jam 9.40 malam semalam (kelmarin) sebelum mangsa mengadu sesak nafas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2017 @ 8:49 AM