Anggota PBB MOSAR membawa mangsa yang cedera menuruni gunung, kelmarin.
Anggota PBB MOSAR membawa mangsa yang cedera menuruni gunung, kelmarin.
Cleo Will


Ranau: Seorang wanita tempatan luka di muka selepas tergelincir ketika menuruni Gunung Kinabalu, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, ketangkasan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) membawa mangsa turun ke Timpohon Gate membolehkan wanita itu dihantar ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Ranau, Jimmy Lagung berkata, dalam kejadian jam 11.50 pagi itu, mangsa, Stephanie Anthony, 23, tergelincir di Kilometer 5.4.

Katanya, malim gunung yang bersama dengan wanita itu menghubungi PBB MOSAR untuk mendapatkan bantuan.

“Kami menerima maklumat daripada malim gunung yang menemani mangsa bahawa wanita itu tergelincir lalu mukanya terkena permukaan batu.

“Insiden itu mengakibatkan hidung mangsa patah, manakala mukanya luka dan berdarah,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, susulan laporan itu, lima anggota PBB MOSAR dan tiga anggota Unit Mencari dan Menyelamat Taman Kinabalu (ParkSAR) bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, kami dapati mangsa serta malim gunungnya berehat di pondok berhampiran. Usaha kami tertumpu kepada menenangkan mangsa dan membersihkan luka dan menghentikan pendarahan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa tidak mampu meneruskan perjalanan lalu pihaknya membuat keputusan untuk mengangkat mangsa turun ke Timpohon Gate dengan menggunakan kaedah ‘piggy back carry’.

“Mangsa tiba di Timpohon Gate pada jam 2.20 petang dan diserahkan kepada pihak EMRS serta dikejarkan ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2017 @ 12:25 AM