Ahmad Zahid (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada Mazlan. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
Ahmad Zahid (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada Mazlan. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
Ekhwan Haque Fazlul Haque


TIMBALAN Perdana Menteri menyerahkan sumbangan peribadi kepada keluarga dua beradik yang maut akibat rabies di Serian berjumlah RM60,000, hari ini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan sumbangan itu kepada bapa mangsa Mazlan Pujan, 36, yang ditemani isterinya Elisa John, 37, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Daripada jumlah itu, RM58,000 akan digunakan untuk membina rumah baru keluarga berkenaan di Kampung Paon Rimu Bakung, Serian.

Dalam majlis sama, Ahmad Zahid turut mendengar taklimat mengenai wabak rabies yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Ahmad Zahid kemudian berlepas ke Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri (KDN) 2017 di Padang Lama Kompleks Sukan Sri Aman.

Dua beradik, Monica Mazlan, 6, dan Jackson Mazlan, 4, meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS), 4 Julai lalu akibat digigit anjing di kampung berkenaan.

Kini, dua lagi mangsa masing-masing kanak-kanak perempuan berusia tujuh dan lima tahun masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HUS menjadikan jumlah mangsa rabies di Sarawak seramai empat orang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 9:50 AM