Penduduk kampung membawa anjing untuk divaksin Kampung Entubuh, Tebedu dan Batu 5, Jalan Semeba, Kuching.
Penduduk kampung membawa anjing untuk divaksin Kampung Entubuh, Tebedu dan Batu 5, Jalan Semeba, Kuching.

Kuching: Dua lagi kampung diisytihar kawasan berisiko penularan wabak rabies selepas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sarawak menemui anjing yang mempunyai simptom wabak itu di kampung berkenaan, semalam.

Penambahan dua kawasan baru itu menjadikan jumlah kawasan yang diisytiharkan wabak rabies di Sarawak meningkat kepada 20 kawasan membabitkan tiga daerah iaitu Serian, Siburan, Sri Aman dan Kuching.

Jurucakap Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, kawasan itu adalah Kampung Entubuh di Tebedu yang terletak berhampiran sempadan Malaysia-Kalimantan Barat, Indonesia serta Batu 5, Jalan Semeba di Kuching.

Menurutnya, keputusan mengisytiharkan kawasan wabak itu dibuat selepas perbincangan bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Dr Sim Kui Hian.

“Menerusi pemeriksaan yang dijalankan JPV Sarawak mendapati ada anjing milik penduduk di kawasan berkenaan yang mempunyai simptom rabies.

“Bagi mengelak risiko jangkitan, penduduk di kawasan terbabit perlu memastikan anjing peliharaan mereka berada dalam kawasan kediaman dan tidak membiarkan haiwan berkenaan berkeliaran,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Selain dua kampung terbabit, kawasan lain yang terjejas di Serian adalah Kampung Krait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paon Rimu Bakung, Kampung Remun, Kampung Lebor, Kampung Saroban, Kampung Tangga, Kampung Ampungan, Kampung Mentong Berawan, Kampung Mentong Silaga, Kampung Engkabang, Kampung Tampek Sumpas, Kampung Rasau, Pekan Siburan, Bandar Serian dan Batu 45, Jalan Kuching- Sri Aman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 10:54 AM