Sebanyak 500 bungkus air ketum dirampas dalam serbuan di kebun getah di Kampung Rawa Jalan Sintok, petang semalam.STR/ Zuliaty Zulkiffli
Sebanyak 500 bungkus air ketum dirampas dalam serbuan di kebun getah di Kampung Rawa Jalan Sintok, petang semalam.STR/ Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu kerana menjual 500 bungkus air ketum di kebun getah di Kampung Rawa, Jalan Sintok, Jitra, semalam.

Suspek, 24, dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak sebulan lalu dan berniaga dari 1 tengah hari hingga 6 petang setiap hari dengan menyasarkan pelanggan warga Thailand dan pelajar sekolah.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, dalam serbuan 2 petang itu suspek sedang menunggu pelanggan untuk membeli air ketum.

Beliau berkata, sepasukan anggotanya menghampiri suspek dan memperkenalkan diri menyebabkan suspek terkejut dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap.

"Hasil pemeriksaan menemui dua bekas plastik warna kuning berisi 340 bungkusan plastik lutsinar berisi air rebusan daun ketum dan satu bekas plastik biru berisi 110 bungku air ketum.

"Selain itu, terdapat satu bekas plastik putih mengandungi bungkusan plastik lutsinar berisi air ketum yang selebihnya.

"Suspek ditahan untuk tindakan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing terhadapnya mendapati dia bebas daripada pengambilan dadah," katanya.

Mohd Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan suspek direman selama empat hari bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 12:17 PM