ANTARA air ketum yang dirampas. FOTO ihsan polis
ANTARA air ketum yang dirampas. FOTO ihsan polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kajang: Polis menahan dua lelaki dan merampas satu tong ais berisi bungkusan air ketum dalam serbuan di rumah di Taman Bukit Mewah, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, serbuan 5.30 petang itu turut menemui satu peket plastik lutsinar disyaki berisi dadah jenis heroin.

"Pemeriksaan di dalam tong ais terbabit mendapati terdapat 54 bungkusan serta satu botol air ketum.

"Polis percaya air ketum siap diproses serta dibungkus dalam kuantiti yang banyak oleh suspek ini bertujuan untuk pengedaran kepada pelanggan di sekitar Kajang,"katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada dua suspek positif dadah.

"Kedua-dua suspek berusia lingkungan 30 dan 50-an itu dibawa ke Balai Polis Kajang untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan sekiranya terdapat sebarang maklumat jenayah boleh disalurkan terus kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang khususnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 10:52 AM