Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin (dua dari kanan) bersama Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Sulaiman Salleh (kanan) menyampaikan sumbangan duit raya dan juadah berbuka puasa kepada orang ramai ketika majlis lawatan High Profile Policing,  di City Square, Johor Bahru. - Foto MOHD AZREN JAMALUDIN

Mohd Sabran Md Sani

Gambar Mohd Azren Jamaludin

POLIS Johor komited meneruskan khidmat anggota berpakaian hitam atau Man In Black (MIB) bagi mencegah jenayah di seluruh negeri sebelum dan selepas Aidilfitri.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, usaha itu berdasarkan respon orang ramai, termasuk pelancong Singapura dengan mengambil kira kehadiran pegawai dan anggota MIB di setiap lokasi tumpuan memberi kesan positif.

"Kajian kami mendapati kehadiran anggota MIB membolehkan kadar jenayah dikurangkan, malah mencegah jenayah terutama di tempat awam.

"Saya sudah berjumpa dengan anggota MIB yang memikul tanggungjawab menjaga ketenteraman bagi pencegahan jenayah dan elemen lain di lokasi tumpuan awam sejak dua bulan lalu, malah diteruskan selepas Aidilfitri," katanya.

Anggota MIB Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Putri, melakukan rondaan keselamatan di pusat beli-belah Bukit Indah, Iskandar Putri. - Foto MOHD AZREN JAMALUDIN
Anggota MIB Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Putri, melakukan rondaan keselamatan di pusat beli-belah Bukit Indah, Iskandar Putri. - Foto MOHD AZREN JAMALUDIN

Wan Ahmad Najmuddin berkata demikian pada program lawatan High Profile Policing Ketua Polis Johor sempena Aidilfitri di Johor Bahru City Square, di sini, hari ini.

Terdahulu, Wan Ahmad Najmuddin menyerahkan kira-kira 100 beg cenderahati dan duit raya kepada orang ramai. Turut serta dalam lawatan itu ialah Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Sulaiman Salleh.

Pasukan diaktifkan JSJ Johor itu membabitkan semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini iaitu Muar, Tangkak, Segamat, Kluang, Mersing, Batu Pahat, Pontian, Johor Bahru Utara (JBU), Johor Bahru Selatan (JBS), Seri Alam, Iskandar Puteri, Kulai dan Kota Tinggi.

Usaha meletakkan anggota berpakaian Man In Black (MIB) di seluruh negeri, itu bagi memantau keadaan di tempat awam dan tumpuan sebagai pencegahan jenayah dan memberi keyakinan kepada masyarakat.

Mengulas lanjut katanya, secara keseluruhan, negeri Johor mencatatkan penurunan kes jenayah sebanyak enam peratus sejak Januari lalu hingga hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 6:38 PM