Pasukan MIB menjalankan pemeriksaan di lokasi berisiko berlaku jenayah. FOTO ihsan polis
Pasukan MIB menjalankan pemeriksaan di lokasi berisiko berlaku jenayah. FOTO ihsan polis
Izlaily Nurul Ain Hussein


KADAR jenayah di Johor mencatatkan penurunan selepas pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor yang berpakaian hitam atau Man In Black (MIB) berada di tempat awam sejak minggu lalu.

Ketua JSJ negeri Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kehadiran pegawai dan anggota MIB itu berjaya menurunkan kadar jenayah dalam tempoh 12 hari.

Beliau berkata, jumlah jenayah indeks di negeri ini pada bagi tempoh 27 Mei hingga semalam menurun sebanyak 42 kes iaitu 26.09 peratus berbanding pada 16 Mei hingga 26 Mei lalu.

"Hanya 119 kes direkodkan dalam tempoh ini berbanding 161 pada minggu sebelumnya.

"Antara kes yang mencatatkan penurunan adalah jenayah harta benda (33 kes), curi kereta (sembilan), kecurian (24), jenayah kekerasan (sembilan), samun tanpa senjata api (lima) dan samun berkumpulan tanpa senjata api (lima).

"Tiada kes bunuh dan samun bersenjata api direkodkan, namun hanya kes rogol meningkat satu kes pada tempoh ini," katanya.

Kamarul Zaman berkata, sepanjang tempoh pegawai dan anggota MIB ditugaskan di tempat awam, seramai 180 orang diperiksa membabitkan lapan wanita serta 56 lelaki warga asing.

"Seramai 116 lelaki tempatan diperiksa, manakala 56 warga asing yang diperiksa membabitkan rakyat Indonesia (16), Bangladesh (16), Nepal (10), Myanmar (enam), Singapura (lapan)," katanya.

Kamarul Zaman berkata, seramai 12 pegawai dan 56 anggota ditugaskan memantau di tempat awam seperti pusat beli-belah, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, taman tema, pusat rekreasi, jeti dan kedai emas.

Beliau berkata, turut ditempatkan ialah di pasar raya, bank, stesen minyak, lapangan terbang, bazar Ramadan dan premis pengurup wang berlesen.

Pada 29 Mei lalu, JSJ Kontinjen Johor mengaktifkan pasukan MIB di seluruh negeri bagi memantau keadaan di tempat awam dan tumpuan sebagai pencegahan jenayah dan memberi keyakinan kepada masyarakat.

Tindakan itu juga bagi mencegah ancaman Daish di negeri ini.

Pasukan yang diaktifkan itu membabitkan semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini iaitu Muar, Tangkak, Segamat, Kluang, Mersing, Batu Pahat, Pontian, Johor Bahru Utara (JBU), Johor Bahru Selatan (JBS), Seri Alam, Iskandar Puteri, Kulai dan Kota Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 4:17 PM