KERJA pembaikan laluan kapal terbang di klia2.
KERJA pembaikan laluan kapal terbang di klia2.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Sepang: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa lebih dua jam pada lawatan sulungnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, sejak ia beroperasi pada 2 Mei tahun lalu.

Pada kunjungan itu, Muhyiddin turut diberikan taklimat oleh pengurusan tertinggi Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) berkaitan pembangunan dan operasi klia2.

Hadir sama pada lawatan itu termasuk Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan timbalannya, Datuk Abdul Aziz Kaprawi; Pengerusi MAHB Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyempurnakan majlis pelancaran Emporium Pelepasan Antarabangsa ERAMAN yang terletak di Bangunan Satelit, klia2.

Emporium berkeluasan 3,000 meter persegi itu menampilkan ruang jualan lebih selesa dan mesra pelanggan sekali gus memberi pengalaman beli belah yang terbaik kepada pelancong.

Terdahulu, pada majlis sama, Muhyiddin turut menyaksikan penyerahan sumbangan Tabung Bantuan Banjir sebanyak RM10,000 daripada MAHB kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Che Latiff.

Sumbangan diserahkan Pengerusi MAHB Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah kepada Guru Besar SK Che Latif Salmah Ismail.

SK Che Latiff adalah sekolah angkat MAHB menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Beyond Borders.

Eksekutif Kanan Jabatan Sumber Manusia Ruzliana Fazila Kamarudin turut diraikan pada majlis sama apabila beliau dianugerahkan sebagai pemenang ACI-Asia Pacific Young Executive 2015. Majlis penyerahan anugerah itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 8:10 AM