Ismail Muhamad


SERAMAI 152 veteran kurang upaya (VKU) Angkatan Tentera Malaysia di Kelantan menerima bantuan 'one off' berjumlah RM76,000.

Bantuan sebanyak RM500 setiap seorang VKU itu disalurkan oleh Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM).

Yang Dipertua PVATM Kelantan Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani berkata, bantuan itu diharap dapat meringankan beban VKU bagi keperluan Ramadan.

Katanya, penerima bantuan dipilih berdasarkan pendaftaran mereka dengan 21 cawangan PVATM di negeri ini.

"Bantuan one off kepada VKU disalurkan bagi meringankan beban terutama yang menghidap penyakit kronik dan mengalami cacat kekal kerana kecederaan ketika menyertai operasi ketika berkhidmat dalam ATM.

"Saya percaya masih ada veteran menghidap penyakit kronik tetapi tidak melaporkan kepada PVATM negeri atau cawangan untuk memudahkan bantuan disalurkan kepada mereka," katanya selepas menyampaikan bantuan kepada VKU di Pulau Hilir Kubang Kerian di sini, hari ini.

Muhammad berkata, bantuan one off berkenaan hasil kutipan Tabung Hari Pahlawan tahun lalu.

Katanya, PVATM Kelantan turut mengadakan program ziarah dari rumah veteran yang dikenal pasti terlantar sakit kronik bagi menyalurkan bantuan.

"Kita berusaha membantu veteran terlantar dan pendekatan program ziarah dilaksanakan PVATM Kelantan memberi kesan baik dalam merapatkan hubungan dengan mereka.

"PVATM Kelantan juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dalam membantu veteran di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 12:58 PM