Sharuddin. FOTO Bernama.
Sharuddin. FOTO Bernama.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengeluarkan komen dan kritikan yang mencalar imej persatuan itu.

Ia susulan tular gambar dan video aktiviti Perbarisan Statik di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, 21 Februari lalu yang bersempena usia PVATM 100 tahun.

Gambar dan video itu tular di media sosial sejak semalam, memperlihatkan seolah-olah veteran ATM tidak mendapat layanan sewajarnya.

Presiden PVATM Datuk Sharuddin Omar berkata, tidak berlaku pengabaian layanan seperti didakwa memandangkan berdiri di tengah panas adalah situasi biasa bagi Perbarisan Statik dan ahli dipilih untuk perbarisan itu adalah individu sihat tubuh badan.

Katanya, gambar tular menunjukkan peserta makan di bawah pokok pula adalah peserta perbarisan dari Kedah yang hanya berehat sementara menunggu solat Zohor sebelum Majlis Tahlil dan Doa Selamat diadakan.

"Sebenarnya, sajian makan tengah hari Nasi Arab bagi peserta dan penonton disediakan di Dewan Masjid Tuanku

Mizan, Putrajaya, manakala jamuan makan bagi VVIP diadakan dalam Dewan Bankuet demi menghormati kehadiran tetamu jemputan dari Veteran Negara ASEAN seramai 27 orang.

"Selaku penganjur, PVATM ingin menjelaskan bahawa ia bukan majlis perjumpaan yang dibuat oleh Menteri Kanan

Pertahanan bersama Veteran ATM (tetapi) ianya acara Perbarisan Statik yang telah dianjurkan sendiri oleh PVATM sempena meraikan usia 100 tahun PVATM.

"Bagi memaknai lagi acara tersebut, PVATM telah menjemput tetamu-tetamu kehormat termasuk Menteri Kanan Pertahanan serta wakil Persatuan Veteran dari 10 negara ASEAN.

"PVATM tidak akan teragak-agak untuk mengambil pendekatan dan kaedah undang-undang ke atas mereka yang mengeluarkan dan mentularkan komen serta kritikan negatif ke atas PVATM," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan itu sebagai langkah membendung dan mencegah supaya tindak tanduk sedemikian tidak berulang lagi, bukan sahaja kepada PVATM malah entiti veteran lain.

"Veteran seharusnya bersatu padu, bersama mewujudkan semangat kesatuan dan mengukuhkan ukhwah sesama sendiri dan bukannya memecahbelahkan lagi kesatuan yang sedia wujud," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 11:20 PM