ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kilang minyak sawit. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kilang minyak sawit. FOTO ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KILANG pemprosesan minyak sawit kerugian kira-kira RM1 juta selepas sebahagian struktur bangunannya musnah dijilat api di Jalan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan, 1.30 pagi, hari ini.

Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Mohd Izhar Razali berkata, pihaknya menerima panggilan awam pada 1.50 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian.

"Pihak bomba terpaksa menggunakan kaedah pemadaman buih serta campuran air kerana api merebak dengan begitu pantas disebabkan terdapat minyak sawit di dalam kilang itu.

"Siasatan awal mendapati api dipercayai bermula dari bahagian bengkel yang terdapat di kilang itu seterusnya merebak ke kawasan pemprosesan minyak sawit yang turut memusnahkan beberapa mesin," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, api berjaya dikawal pada 4 pagi dan siasatan mengenai punca kebakaran masih lagi disiasat Bahagian Forensik Jabatan Bomba dan Penyalamat Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2017 @ 1:44 PM