MOHAMAD Zainal menunjukkan bungkusan plastik berisi daum ketum yang dirampas. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
MOHAMAD Zainal menunjukkan bungkusan plastik berisi daum ketum yang dirampas. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


POLIS menahan lelaki dan merampas 110 kilogram (kg) daun ketum serta tiga liter air ketum bernilai RM3,300 di Jalan Kampung Gajah-Teluk Memali menghala ke Teluk Intan di Bota, hari ini.

Suspek berusia 35 tahun itu dipercayai pembekal daun ketum dan menghantar bekalan itu untuk kegunaan pasaran di sekitar daerah Gombak, Selangor sejak tiga bulan lalu.

Bagaimanapun kegiatan itu tumpas selepas suspek ditahan unit peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, 4 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemui 32 bungkusan plastik berwarna hitam berisi daun ketum dan dua botol air ketum di dalam bonet belakang kereta Mercedez Benz yang dipandu suspek.

"Lelaki yang juga pengusaha ikan keli itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya pada sidang media di IPD Perak Tengah di Bota, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 4:32 PM