Anggota polis menunjukkan daun ketum di dalam plastik yang dirampas. Gambar Ihsan PDRM
Anggota polis menunjukkan daun ketum di dalam plastik yang dirampas. Gambar Ihsan PDRM
Mohd Hafizee Mohd Arop


LELAKI berusia 38 tahun ditahan polis selepas pemeriksaan di dalam bonet kereta dipandunya menemui 50 kilogram (kg) daun ketum di Jalan Lambor Kiri, Bota, 7.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek ditahan polis selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan menemui kesemua daun ketum itu di dalam bonet kereta jenis Proton Wira dipandunya.

Menurutnya, kesemua daun ketum itu ditemui dalam lapan bungkusan plastik hitam dengan anggaran keseluruhan seberat 50kg.

"Suspek kemudiannya ditahan sebelum ujian air kencing dijalankan mendapati dia positif methampetamin dan selain rampasan kesemua daun berkenaan, polis turut menyita kenderaan dinaiki suspek.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 30 Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 10:34 AM