POLIS melakukan siasatan di salah sebuah rumah mangsa yang disamun empat lelaki menaiki motosikaldi Jalan Bidara 3, Saujana Utama, Sungai Buloh, kelmarin.
POLIS melakukan siasatan di salah sebuah rumah mangsa yang disamun empat lelaki menaiki motosikaldi Jalan Bidara 3, Saujana Utama, Sungai Buloh, kelmarin.
Nurul Hidayah Bahaudin dan Amirul Aiman Hamsuddin

Sungai Buloh: Tiga mangsa dirompak dalam tempoh kurang 30 minit. Itu tindakan ganas empat penjenayah bermotosikal yang melakukan samun berkumpulan di Jalan Bidara 3, Saujana Utama 3, di sini.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari kelmarin, empat penjenayah menunggang motosikal Yamaha berwarna biru dikesan melakukan rompakan bersenjatakan pisau dan parang.

Pengerusi Persatuan Penduduk Bidara Saujana Utama 3, Hafizul Din berkata, kejadian pertama berlaku apabila dua pekerja warga Indonesia berusia 20-an diserang di hadapan rumah yang menjalani proses ubah suai.

“Suspek yang menyangka pekerja terbabit adalah pemilik rumah memaksa mangsa menyerahkan kunci motosikal yang diletakkan di hadapan kediaman itu.

“Bagaimanapun sebaik mengetahui motosikal itu bukan milik mangsa, suspek berang dan menendang motosikal berkenaan.

“Mereka kemudian mengugut pekerja binaan itu menyerahkan wang tunai dan telefon bimbit sebelum ke rumah mangsa kedua,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Hafizul berkata, penjenayah kemudian menyerang seorang wanita yang baru keluar dari kediaman rakannya di sini.

“Suspek mengugut mangsa dengan mengacu pisau dan parang serta mengarahkannya menyerahkan barangan berharga. Suspek kemudian menarik rantai dan gelang emas dipakai mangsa.

“Seorang jiran berhampiran yang cuba membantu sebaik terdengar bunyi kekecohan yang berlaku sebaliknya diugut penjenayah supaya tidak masuk campur,” katanya.

Katanya, lelaki berusia 37 tahun itu kemudian masuk semula ke rumah kerana panik dengan ugutan suspek.

“Bagaimanapun, tayar kereta Perodua Kenari milik mangsa ditoreh menggunakan pisau oleh suspek sebagai tanda amaran tidak masuk campur.

“Namun bunyi kekecohan itu menyebabkan lebih ramai jiran datang ke lokasi kejadian untuk melihat apa yang berlaku. Mereka (suspek) yang melihat orang ramai kian memenuhi kawasan itu melarikan diri,” katanya.

Gelagat keempat-empat suspek yang memakai topi keledar tutup penuh muka itu sempat dirakam beberapa kamera litar tertutup di kawasan perumahan berkenaan.

Katanya, ketiga-tiga mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Saujana Utama, di sini, sejurus selepas kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2017 @ 5:26 AM