MOHD Rashid  menunjukkan belangkas yang menjadi menu baru di restorannya, Warung Kulat dekat Teluk Air Tawar, Kepala Batas.
MOHD Rashid menunjukkan belangkas yang menjadi menu baru di restorannya, Warung Kulat dekat Teluk Air Tawar, Kepala Batas.
Zulfa Mohamad


Kepala Batas: Jika dulu, belangkas dibiarkan mati terdampar di pantai begitu saja tetapi kini dijadikan antara hidangan istimewa di restoran berikutan isinya dikatakan lebih sedap berbanding ketam selain mempunyai nilai perubatan.

Mohd Rashid Abdullah, 40, antara nelayan yang menyediakan hidangan belangkas sebagai menu di restorannya yang dikenali Warung Kulat di Sungai Abdul, Teluk Air Tawar di sini.

Belangkas yang diperoleh daripada beberapa nelayan ditempatkan dalam bekas khas untuk dipilih pelanggan sebelum dimasak mengikut permintaan.

Mohd Rashid berkata, dia mula menyediakan belangkas sebagai menu sejak dua bulan lalu selain udang lipan dan ketam.

“Belangkas pantai berharga antara RM20 dan RM25 seekor manakala belangkas padi yang lebih kecil dijual RM10 seekor dan ia boleh direbus, bakar, goreng atau dibuat sambal tumis,” katanya.

Menurutnya, dulu belangkas mudah diperoleh dan harganya hanya 15 sen seekor tetapi kini ia sukar diperoleh dan biasanya terdapat di kawasan pantai berpasir yang dijadikan tempat untuk bertelur.

“Belangkas menjadi menu popular di selatan tanah air, tetapi masih kurang di utara. Ia mempunyai khasiat tertentu termasuk darahnya yang didakwa mempunyai bahan yang boleh mengesan sel virus dan bakteria.

“Isi belangkas pula banyak di belakang bawah cengkerang manakala telurnya dalam kantung lebih enak berbanding isi ketam,” katanya.

Difahamkan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sedang menjalankan penyelidikan mengenai belangkas yang juga hidupan akuatik purba berikutan ia mempunyai nilai tinggi dari segi perubatan dan farmaseutikal terutama darah dan cengkerangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 10:27 AM