GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sebanyak 45 peratus kadar penalti maksimum boleh dikenakan untuk kelewatan melebihi tempoh 24 bulan mengemukakan Borang Nyata kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Kadar cukai itu boleh dikenakan kepada kategori pembayar cukai tidak menjalankan perniagaan, pembayar cukai yang ada sumber pendapatan perniagaan, pembayar cukai syarikat, badan amanah, koperasi dan perkongsian liabiliti terhad.

Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif dan Jurucakap Rasmi LHDN, Ranjeet Kaur berkata, ia adalah penalti di bawah Subseksyen 112(3) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

Mengikut kadar penalti itu, katanya, kelewatan untuk mengemukakan Borang Nyata selepas tarikh akhir bagi tempoh kelewatan sehingga 12 bulan pula adalah 15 peratus.

"Bagi tempoh lewat melebihi 12 bulan hingga 24 bulan pula akan dikenakan kadar penalti sebanyak 30 peratus," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tempoh kelewatan akan diambil kira daripada tarikh akhir pengemukaan sekiranya Borang Nyata gagal dikemukakan dalam tempoh tambahan masa yang dibenarkan.

Terdahulu, menerusi kenyataannya hari ini, beliau berkata LHDN memberi peringatan kepada semua pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan agar segera melaporkan pendapatan mereka yang layak dikenakan cukai untuk Tahun Taksiran 2021 selewat-lewatnya pada 15 Mei ini.

Laporan pendapatan itu boleh dibuat melalui e-Filing bagi mengelakkan sebarang penalti lewat kemuka Borang Nyata Cukai dikenakan.

Menurutnya, tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata Cukai Tahun Taksiran 2021 (TT 2021) bagi kategori pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan membabitkan borang jenis BE (Individu Pemastautin), BT (Individu Pemastautin; Pekerja Berpengetahuan / Berkepakaran), M (Individu Bukan Pemastautin), MT (Individu Bukan Pemastautin (Pekerja Berpengetahuan), TF (Pertubuhan), TP (Harta Pusaka) dan TJ (Keluarga Sekutu Hindu).

"Panduan berkenaan pengemukaan Borang Nyata Cukai ini, pembayar cukai boleh merujuk kepada Program Memfail Borang Nyata bagi tahun 2022 yang boleh diakses dan boleh dimuat turun bagi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

"Sehingga 30 April lalu, lebih 2.58 juta Borang Nyata Cukai Tahun Taksiran 2021 sudah diterima daripada pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan.

"Daripada angka ini, 2.48 juta atau lebih 96 peratus Borang Nyata Cukai diterima melalui kaedah e-Filing manakala selebihnya secara manual atau Borang Kertas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 4:11 PM