SABIN (kanan) pada sidang media mengenai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) dan Isu Percukaian Perniagaan Dalam Talian. FOTO Zaman Huri Isa
SABIN (kanan) pada sidang media mengenai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) dan Isu Percukaian Perniagaan Dalam Talian. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail


SYARIKAT atau individu yang menjalankan perniagaan secara haram juga perlu membuat laporan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengelakkan dikenakan tindakan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Sabin Samitah berkata, mereka boleh berbuat demikian menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) yang dilancarkan bermula November tahun lalu hingga Jun ini.

Katanya, LHDN mempunyai cawangan siasatan sendiri untuk menangani kes seumpama itu.

“Kita harap peniaga yang menjalankan aktiviti haram seperti pembalakan atau penjualan ikan kepada nelayan asing di tengah laut dapat tampil menyertai program ini.

“Kita ada banyak maklumat yang disalurkan oleh agensi kerajaan yang lain dan maklumat dari luar negara.

“Bagaimanapun, peniaga yang terbabit dengan aktiviti haram tidak perlu risau dengan tindakan undang-undang kerana maklumat mereka akan dirahsiakan,” katanya dalam sidang media PKPS dan Isu Percukaian Perniagaan Atas Talian di Dewan Perniagaan China Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Pengarah LHDN Kelantan/ Terengganu Kamaruzaman Muhammad dan Presiden Dewan Perniagaan China Kelantan Yap Heng Or.

Mengulas lanjut, Sabin turut mengingatkan peniaga di sempadan Malaysia-Thailand untuk menyertai program itu bagi mengelakkan mereka dikenakan penalti lebih tinggi jika dikesan selepas program tamat.

“Selepas program ini tamat, sekiranya kita dapati mereka mempunyai aset yang tinggi tapi tidak membuat pelaporan cukai kita akan lakukan audit dan akan kenakan penalti lebih tinggi ,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, LHDN mensasarkan sejuta pembayar cukai dengan sasaran kutipan RM10 bilion menerusi program PKPS ini.

“Kita yakin sasaran ini dapat dicapai susulan peningkatan trend sejak Februari dengan lebih 200,000 pembayar cukai menyertai program ini.

“Jadi kita harap, masyarakat dapat mengambil kesempatan ini kerana kini penalti adalah 10 peratus sebelum 15 Mac ini dan kalau mereka datang sekarang kita tak tanya banyak soalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 3:59 PM