DUA anak Mohd Nawawi melihat  buku sekolah mereka yang   hangus dalam kebakaran.
DUA anak Mohd Nawawi melihat buku sekolah mereka yang hangus dalam kebakaran.
myMetro

Gua Musang: Malang berganda bagi 10 beranak di Kampung Nerang Tiga Beradik, di sini apabila rumah mereka yang baru enam bulan siap dibaiki selepas rosak akibat banjir pada 2014, kini hangus terbakar, kelmarin.

Kebakaran jam 12.20 tengah hari berlaku ketika semua penghuni tiada di rumah kerana berkunjung ke rumah saudara di Kampung Sungai Kepa, di sini.

Mohd Nawawi Dollah, 37, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada jirannya memaklumkan rumah separa kekalnya terbakar.

“Saya terkejut dan bergegas pulang. Malangnya, apabila tiba, api marak dan saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa.

“Rumah ini baru enam bulan dibaiki selepas rosak akibat banjir besar pada Disember 2014. Proses pembaikan lambat selesai kerana dibuat ikut kemampuan.

“Igauan ngeri kejadian banjir pun belum reda, kini kami menerima lagi dugaan yang meranapkan terus rumah ini,” katanya, semalam.

Bagaimanapun, katanya dia bersyukur tiada ahli keluarganya berada di rumah ketika kejadian itu.

Mohd Nawawi turut mengakui tinggal di kawasan setinggan kampung itu sejak 20 tahun lalu dan menghadapi pelbagai dugaan kerana kawasan berisiko terdedah bencana.

“Ramai nasihatkan supaya berpindah namun masalahnya kami tiada tempat tinggal lain.

“Menumpang di rumah adik pula tidak sesuai kerana menambah lagi kesesakan kerana keluarga kami besar. Saya harap pihak berkuasa dapat pertimbangkan bantuan rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 8:47 AM