Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: "Walaupun tinggal sehelai sepinggang, saya tetap bersyukur kerana terselamat daripada kebakaran rumah sewa," kata pelajar Pondok Pasir Tumboh Mohd Johan Hashimi.

Mohd Johan, 29, antara 15 penghuni 10 rumah sewa di Kampung Terusan Limbat di sini, yang musnah dalam kebakaran pada 5 petang semalam.

Menurutnya, ketika kejadian dia bersama penghuni pondok sedang mengikuti kelas di masjid Pondok Pasir Tumboh sebelum dikejutkan dengan kebakaran itu.

"Sebaik mendengar pengumuman berhubung kebakaran, saya terus berlari ke lokasi dan mendapati api sedang marak.

"Akibat kejadian itu, kesemua barangan elektrik, telefon bimbit dan kitab pengajian saya musnah hingga menyebabkan kerugian lebih RM5,000," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Johan yang berasal dari Kuching, Sarawak baru sahaja enam bulan tinggal di rumah sewa itu dan reda dengan kejadian terbabit.

Seorang lagi penghuni, Mohd Amin Rasyidi Abdullah, 28, berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerja sebelum dimaklumkan kejadian itu oleh rakannya.

Menurutnya, dia bergegas pulang dan mendapati rumah yang disewa bersama isteri, Mukminah Fauzi, 28, musnah hingga menyebabkan barang jualan kebabnya rosak dan barangan elektrik serta kitab pengajian turut musnah.

"Alhamdulillah, kami selamat kerana ketika kejadian isteri tiada di rumah kerana pulang ke Kampung di Beris Kubor Besar, dekat Bachok," katanya yang menyewa rumah itu sejak empat tahun lalu.

Sementara itu, Setiausaha Agong Pondok Pasir Tumboh Ahmad Shairazi Atiqullah berkata, pihaknya akan memberi bantuan kepada kesemua mangsa mengikut kemampuan.

"Kami harap kesemua mangsa yang dianggarkan seramai 15 orang supaya tabah dan sabar menghadapi musibah ini.

"Kita memohon sumbangan daripada semua pihak untuk meringankan beban mangsa yang kesemuanya adalah penghuni pondok sepenuh masa dan menyewa di lokasi ini yang juga tanah milik persendirian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 12:13 PM
Warga Penghuni pondok  melihat keadaan rumahnya yang hangus membabitkan 10 buah rumah sewa di Kampung Terusan Limbat musnah dalam kebakaran petang semalam. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Warga Penghuni pondok melihat keadaan rumahnya yang hangus membabitkan 10 buah rumah sewa di Kampung Terusan Limbat musnah dalam kebakaran petang semalam. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR