Muhammad Yusri Muzamir dan Norhaslinda Abd Wahid

Georgetown: “Tahun ini saja, sudah lebih enam kali kawasan rumah saya dilanda banjir kilat dan setiap kali hujan terutama ketika malam, kami sekeluarga tidak dapat melelapkan mata kerana bimbang rumah dinaiki air,” kata Md Razali Dahan, 65.

Dia adalah antara penghuni di Jalan P Ramlee yang dilanda banjir kilat selepas hujan hampir empat jam, semalam.

Menurutnya, setiap kali hujan, rumahnya akan dinaiki air malah pernah mencecah sehingga paras satu meter hingga menyebabkan banyak peralatan termasuk perabot rosak.

“Kami cukup menderita dengan keadaan yang berlaku sekarang tidak tahu sampai bila hendak berhadapan dengan situasi ini.

“Justeru, kami harap satu langkah penyelesaian dapat diambil untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk, khususnya di kawasan berisiko,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Md Razali berkata, kejadian banjir kilat yang berlaku September lalu juga menyebabkan kereta Proton Perdana milik isterinya ditenggelami air dan sehingga kini kenderaan berkenaan masih berada di bengkel untuk dibaiki.

“Ketika kejadian, saya bersama isteri berada di Shah Alam dan sejurus air naik, anak-anak sibuk menyelamatkan perabot rumah dan tidak sempat mengalihkan kereta di kawasan lebih tinggi.

“Antara perabot rumah yang rosak sehingga terpaksa dibuang termasuk almari, sofa, kabinet dapur dan lain-lain peralatan elektrik,” katanya.

Hujan hampir empat jam yang bermula sejak jam 12 tengah malam kelmarin, menyebabkan paras air naik mencecah 0.3 meter hingga 0.6 meter.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, banjir kilat itu menyebabkan 60 rumah di sembilan lokasi sekitar daerah Timur Laut terjejas namun tiada penduduk yang dipindahkan.

Menurutnya, sembilan lokasi yang dilanda banjir kilat itu ialah Jalan P Ramlee, Kampung Masjid, Jalan Singgora, Kampung Makam, Kampung Rawana, Lorong Kulit, Kampung Dodol, Jalan Gemas dan Jalan Terengganu.

“Banjir kilat turut melanda kawasan Seberang Perai dengan hampir 70 rumah di Kampung Lokan, Kampung TokSani, Kampung Manggis, Kampung Perlis, Jalan Perusahaan Mak Mandin dan Taman Limbungan terjejas.

“Air mula naik jam 3 pagi sebelum surut sepenuhnya jam 6.30 pagi dan tiada penduduk yang dipindahkan dalam kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 9:07 AM
LUMPUR memenuhi kawasan rumah penduduk di sekitar Georgetown.
LUMPUR memenuhi kawasan rumah penduduk di sekitar Georgetown.
PENDUDUK membuat kerja pembersihan selepas banjir kilat yang berlaku di Lintang P Ramlee.
PENDUDUK membuat kerja pembersihan selepas banjir kilat yang berlaku di Lintang P Ramlee.
HUJAN lebat sejak tengah malam kelmarin menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat.
HUJAN lebat sejak tengah malam kelmarin menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat.