Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Operasi pembersihan Restoran Nasi Kandar Line Clear di Jalan Penang, di sini sedang giat dijalankan sejak semalam selepas diarahkan tutup dua minggu kerana kotor.

Pengusahanya Sahubar Ali Mohd Hanibah berkata, kerja pembersihan dilakukan jam 8 malam semalam selepas operasi perniagaan tamat.

Menurutnya, pihaknya bukan saja melakukan pembersihan tetapi turut melakukan beberapa pengubahsuaian dan penambahbaikan.

Katanya, pihaknya akur dengan arahan penutupan yang diberikan dan mengakui segala kesilapan selepas penemuan najis, bangkai tikus dan lipas.

“Kejadian ini kali pertama berlaku sejak 80 tahun menjalankan perniagaan nasi kandar di Pulau Pinang dan arahan penutupan itu turut menjejaskan nama baik kami.

"Kami akan lebih berhati-hati agar kejadian sama tidak akan terus berulang di masa akan datang,” katanya ketika ditemui sebentar tadi.

Restoran Nasi Kandar Yasmeen yang terletak bersebelahan turut melakukan kerja pembersihan selepas kedua-dua restoran diarah tutup dua minggu selepas didapati kotor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 6:55 PM
Pekerja Restoran Nasi Kandar Line Clear di Jalan Penang membersihkan ruang-ruang dapur dan stor mereka berikutan terpaksa ditutup selama dua minggu. FOTO Amir Irsyad Omar
Pekerja Restoran Nasi Kandar Line Clear di Jalan Penang membersihkan ruang-ruang dapur dan stor mereka berikutan terpaksa ditutup selama dua minggu. FOTO Amir Irsyad Omar