ANGGOTA polis menunjukkan kerosakan Toyota Hilux yang sengaja melanggar kereta.
ANGGOTA polis menunjukkan kerosakan Toyota Hilux yang sengaja melanggar kereta.
Ahmad Ismail


Segamat: Padah berlagak samseng, seorang peniaga ditahan polis apabila dikatakan sengaja melanggar kereta seorang lelaki akibat tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa membunyikan hon bagi mengelak kemalangan jalan raya di Jalan Dato Abdul Rahman Musa, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun dilanggar di bahagian belakang oleh lelaki berusia 48 tahun yang memandu Toyota Hilux.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintenden Raub Selamat berkata, suspek bertindak demikian kerana berang dengan mangsa yang membunyikan hon untuk mengelak daripada melanggar kenderaan pacuan empat roda yang keluar parkir.

Katanya, mangsa membunyikan hon dua kali apabila nyaris berlaku kemalangan dan berlalu tanpa menjangkakan tindakannya itu menimbulkan kemarahan suspek.

“Pemandu Toyota Hilux terbabit dikatakan mengekori kereta yang dipandu mangsa kira-kira 1.5 kilometer hingga ke Jalan Genuang sebaik keluar dari kawasan parkir berkenaan.

“Mangsa terkejut dan ketakutan apabila kenderaan dipandu suspek mengekori rapat keretanya sebelum melanggar belakang dua kali,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa mendakwa, suspek cuba merempuhnya apabila memecut laju ketika dia berhenti dan keluar untuk melihat kerosakan sebaik dilanggar.

Katanya, mangsa cuba mengejar pacuan empat roda terbabit, tetapi gagal menyebabkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2017 @ 5:48 AM