JENGKAUT  membersihkan jambatan sementara Kampung Pulau Setelu, Gua Musang.
JENGKAUT membersihkan jambatan sementara Kampung Pulau Setelu, Gua Musang.

Gua Musang: Jambatan sementara di Kampung Pulau Setelu yang runtuh disebabkan banjir bulan lalu hingga menyebabkan laluan Jalan Gua Musang-Jeli menerusi kampung itu terputus mula dibersihkan sejak petang kelmarin.

Ia dilakukan selepas air sungai surut sepenuhnya dan arus tidak membahayakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Datuk Mat Yusoff Ab Ghani berkata, kerja membersih jambatan yang dipenuhi sisa kayu dilakukan bagi membolehkan pembaikannya dimulakan.

Beliau berkata, sebuah jengkaut digunakan untuk menjalankan kerja pembersihan timbunan sisa kayu tersekat di situ.

“Kami bimbang dengan keselamatan penduduk khusus pelajar sekolah yang berulang-alik menggunakan bot menyeberangi sungai setiap hari.

“Jadi, kerja membaik pulih jambatan sementara ini perlu disegerakan kerana ia mengambil masa dua bulan untuk disiapkan.

“Dalam masa sama, dilakukan pembinaan jambatan sementara kedua,” katanya ketika ditemui di Kampung Pulau Setelu, di sini pagi semalam.

Dalam kejadian 24 Januari lalu, jambatan menjadi perhubungan penting pengguna Jalan Gua Musang-Jeli itu ditenggelami air Sungai Nenggiri dan rosak teruk.

Apabila air sungai surut dalam seminggu, jambatan sementara ditutup disebabkan kerosakan yang teruk.

Mat Yusoff berkata, satu lagi jambatan sementara akan turut dibina berhampiran jambatan sedia ada dalam masa terdekat ini dengan perbelanjaan hampir RM200,000.

Beliau berkata, walaupun jambatan kedua itu ditanggung kontraktor untuk kemudahan membina jambatan kekal, ia boleh dibuka kepada laluan awam.

“Sekurang-kurangnya penduduk ada kemudahan dua jambatan sementara menunggu jambatan konkrit kekal siap dua tahun lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 6:59 AM