ISMA (kiri)  bersama Mamat (kanan)  dan Abu Bakar meninjau Dewan Serbaguna Kampung Basung yang menjadi lokasi pengagihan sumbangan Misi Bantuan Banjir Titipan Kasih Harian Metro-Giant di Kampung Basung.
ISMA (kiri) bersama Mamat (kanan) dan Abu Bakar meninjau Dewan Serbaguna Kampung Basung yang menjadi lokasi pengagihan sumbangan Misi Bantuan Banjir Titipan Kasih Harian Metro-Giant di Kampung Basung.
MOHD Faizul bersama pelajarnya melakukan kerja pasca banjir di madrasah.
MOHD Faizul bersama pelajarnya melakukan kerja pasca banjir di madrasah.
Nazdy Harun

Hulu Terengganu: Penduduk Kampung Basung dan Kampung Pasir Dula di sini, mengalu-alukan pemilihan kampung mereka sebagai lokasi Misi Bantuan Banjir Titipan Kasih Harian Metro-Giant di Terengganu, hari ini.

Penduduk di kedua-dua kampung berkenaan terharu dengan keprihatinan pihak penaja untuk membantu mereka yang dilanda bencana banjir terburuk dalam sejarah kampung berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Basung Mamat Mat Amin berkata, semua persiapan bagi melancarkan program berkenaan sudah diatur pihaknya.

Menurutnya, pihaknya turut menyediakan kupon kepada penerima sumbangan bagi melicinkan proses pengagihan sumbangan berkenaan.

"Sebanyak 130 keluarga dari Kampung Basung menerima sumbangan berkenaan sekali gus meringankan beban mereka yang terjejas akibat banjir.

"Mereka membabitkan kira-kira 90 peratus daripada penduduk kampung ini yang menjadi mangsa dalam bencana itu," katanya, semalam.

Mamat ditemui ketika meninjau Dewan Serbaguna Kampung Basung yang menjadi lokasi pengagihan sumbangan berkenaan.

Hadir sama Ketua Biro Harian Metro Terengganu Isma Ismail dan juga Pengerusi J3K Pasir Dula Abu Bakar Othman.

Misi Bantuan Banjir Titipan Kasih Harian Metro-Giant yang mendapat tajaan GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (Giant) juga akan ke Kelantan esok bagi mengagihkan bantuan sama kepada penduduk yang terjejas banjir.

Selain itu, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota), Honda Malaysia Sdn Bhd dan Bermaz Motor Trading Sdn Bhd turut menaja kenderaan Briged Sukarelawan Media Prima- NSTP yang menyertai misi berkenaan.

Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar serta Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro yang juga Pengerusi Titipan Kasih Harian Metro Othman Mamat akan mengetuai 50 kakitangan Harian Metro, Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP dan Sukarelawan 'Big Hearted Giant' untuk melaksanakan misi berkenaan.

Abu Bakar pula berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pengurusan J3K Kampung Basung bagi membantu menjayakan proses pengagihan sumbangan kepada penduduk.

Menurutnya, sebanyak 120 keluarga dari kampungnya akan menerima sumbangan terbabit dan pihaknya juga menyediakan sistem kupon bagi melicinkan proses pengagihan.

"Kami turut membantu pihak J3K Kampung Basung bagi menyiapkan dewan yang menjadi lokasi pengagihan sumbangan esok (hari ini)," katanya.

Selain penduduk kedua-dua kampung berkenaan, Misi Bantuan Banjir Titipan Kasih Harian Metro-Giant turut menghulurkan sumbangan barangan kepada Madrasah Darul Ansar di sini, selain bergotong-royong mengecat dan mengemas sekitar kawasan berkenaan.

Pengetua Madrasah Darul Ansar Mohd Faizul Abdullah berkata, pihaknya menyambut baik kehadiran rombongan Harian Metro ke madrasah itu dan berbesar hati dengan sumbangan yang dihulurkan untuk kegunaan pelajar serta pengurusan.

"Hanya Allah SWT yang mampu membalas budi baik dan keprihatinan Harian Metro," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:26 AM