Kampung Gajah: Kira-kira 25 keluarga mangsa banjir di Kampung Bendang Besar, di sini, bersyukur dan gembira apabila menerima bantuan barangan keperluan dapur dalam program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Misi Bantuan Banjir.

Barangan keperluan bernilai RM200 untuk setiap keluarga itu disampaikan sendiri Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar kepada penduduk kampung berkenaan, kelmarin.

Salah seorang mangsa banjir, Ahmad Kamil Sidon, 53, berkata, bantuan yang diberikan Harian Metro itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban ditanggung mereka selepas banjir melanda kampung berkenaan pada 23 Disember lalu.

Katanya, air dari sungai berdekatan dari kampung mereka mula naik selepas hujan berterusan mengakibatkan keseluruhan kampung ditenggelami air dan semua penduduk dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara.

"Mujurlah air di kampung kami tidak naik secara mendadak dan ia membolehkan kami menyelamatkan barang seperti perabot dengan memindahkannya ke bahagian atas rumah sebelum berpindah ke pusat pemindahan.

"Namun, kami tetap mengalami kerugian apabila terdapat juga barangan yang gagal diselamatkan. Kami amat berterima kasih dengan bantuan yang disampaikan ini kerana ia sudah pasti dapat meringankan beban yang kami tanggung," katanya yang ditemui selepas menerima sumbangan daripada Mustapa di rumahnya di kampung berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 7:40 AM