Dua lelaki maut selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 362.8 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, pagi tadi. FOTO Ihsan JBPM
Dua lelaki maut selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 362.8 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, pagi tadi. FOTO Ihsan JBPM
Oleh Rosman Shamsudin


Slim River: Dua maut selepas kereta dinaiki terperosok sejurus merempuh belakang treler di Kilometer 362.8, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, pemandu kereta, Jeya Varma Yathal berumur 33 tahun dan penumpang dikenali Kartikeyan berumur 27 yang mengalami kecederaan parah itu dan disahkan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kemalangan membabitkan kereta Proton Waja dan treler Scania membawa muatan bongkah konkrit.

Menurutnya, siasatan awal pihak polis mendapati ketika kejadian treler yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 47 tahun dalam perjalanan dari arah Rawang, Selangor menuju ke Teluk Intan, Perak.

"Tiba di tempat kejadian, tiba-tiba treler terbabit dilanggar dari belakang oleh Proton Waja berkenaan menyebabkan kereta itu terperosok dan melekat pada treler.

"Rempuhan itu menyebabkan pemandu pemandu dan penumpang kereta tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sulizmie Affendy berkata kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk tindakan selanjutnya selepas ujian Covid-19 selesai dijalankan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan kejadian.

Katanya, tiba di tempat kejadian mendapati dua orang lelaki yang berada di dalam kereta dalam keadaan tersepit akibat kemalangan terbabit.

Beliau berkata, pihak bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang disahkan maut oleh pegawai perubatan sebelum menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 12:32 PM