Ahmad Zahid memberi tabik hormat pada  Majlis Sambutan Hari Imigresen 2016 di Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya.
Ahmad Zahid memberi tabik hormat pada Majlis Sambutan Hari Imigresen 2016 di Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya.
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Batalkan kontrak jika perkhidmatan diberikan gagal menepati piawaian ditetapkan.

Itu amaran keras dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada vendor Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) selepas sistem itu didakwa tidak berfungsi dengan baik.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan tidak teragak-agak membatalkan kontrak vendor berkenaan namun Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberi tempoh kepada mereka bagi memperbaiki sistem biometrik itu.

Menurutnya, JIM tidak berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan myIMMs kerana ia tidak menepati piawaian dalam aspek perancangan, pelaksanaan dan pemantauan sehingga menjejaskan pencapaian objektifnya.

“Kami melihat perjanjian serta kontrak yang ditandatangani dengan vendor berkenaan termasuk melihat jangka masa ditentukan dalam perjanjian.

“Saya tidak fikir kami boleh melanjutkan lagi tempoh bagi mereka memperbaiki (myIMMs) kerana apa yang utama perkhidmatan kepada rakyat dan pelancong yang masuk ke negara kita,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Imigresen 2016, di sini, semalam.

Katanya, biarpun bayaran penuh sudah dibuat namun ada klausa dalam perjanjian yang membolehkan kerajaan mengenakan penalti terhadap vendor terbabit jika perkhidmatannya tidak memuaskan.

Ahmad Zahid berkata, JIM menyedari permasalahan yang timbul dan cuba memperbaikinya dari semasa ke semasa.

“Kami sampai di peringkat ‘ditolak hingga ke dinding’. Justeru, kami tidak boleh menerima lagi perkhidmatan oleh vendor berkenaan,” katanya.

MyIMMs menelan belanja RM29.9 juta. Bagaimanapun, pelaksanaannya gagal menepati piawaian dikehendaki sehingga ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2 pada 21 November lalu.

Difahamkan, kegagalan itu turut membuka peluang kepada warga asing mudah membolosi pintu masuk negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Mengulas mengenai rancangan Kementerian Dalam Negeri melaksanakan Sistem Saringan Awal Penumpang (APSS) bagi menapis setiap warga asing, Ahmad Zahid berkata, pihaknya masih menunggu surat penerimaan sistem itu.

“APSS sudahpun dimuktamadkan namun belum dilaksanakan. Kami masih menunggu surat penerimaan sistem itu dikeluarkan terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 6:44 AM