HAMZAH melawat Pos Sempadan (Subtek) yang menghubungkan antara Malaysia dengan Indonesia di Telok Melano. FOTO Bernama
HAMZAH melawat Pos Sempadan (Subtek) yang menghubungkan antara Malaysia dengan Indonesia di Telok Melano. FOTO Bernama
Mohd Roji Kawi


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) membangunkan sistem baharu bagi menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) untuk meningkatkan keupayaan mengesan pergerakan keluar masuk warga asing.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya sudah membuka tawaran tender kepada beberapa syarikat untuk membangunkan sistem dalam Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu.

Hamzah berkata, beliau yakin Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISE) akan meningkatkan lagi kecekapan JIM apabila ia beroperasi sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

"Kita akui kelemahan sistem sedia ada dalam mengenal pasti pergerakan keluar warga asing, justeru kita akan pertingkatkan sistem dengan membangunkan NIISE.

"NIISE itu nanti bukan sahaja akan mengesan pergerakan keluar masuk warga asing malah mampu mengesan mereka yang tinggal di negara ini melebihi tempoh," katanya kepada media selepas melawat Sub Taktikal (SUBTEK) Pasukan Gerakan Am (PGA) Telok Melano, Sematan, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Setiausaha Bahagian Pembangunan KDN, Datuk Rahmah Ramli dan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Laporan Ketua Audit Negara mengenai kegagalan Sistem MyIMMs mengesahkan pergerakan warga asing kerana berlaku masalah system down sebanyak 4,489 kali bagi tempoh 2016 hingga 2018.

Berikutan gangguan yang sering dihadapi Sistem MyIMMs itu, seramai 214,398 daripada 912,374 warga asing tidak mempunyai rekod keluar dari Malaysia setakat 15 April lalu.

Mengulas lanjut, Hamzah turut menyangkal dakwaan terdapat antara lima hingga enam juta warga asing tidak memiliki dokumen berada di negara ini.

"Setiap tahun tidak kurang 500,000 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, hanya kira-kira 20,000 atau kurang 20 peratus yang tidak mempunyai dokumen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 4:20 PM