Pasukan Penyelamat di Air  daripada Balai Bomba Perlabuhan Klang dan Shah Alam mengangkat  mayat seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang lemas selepas tergelincir di Kunci Tali Air Sungai Jarum, Banting.
Pasukan Penyelamat di Air daripada Balai Bomba Perlabuhan Klang dan Shah Alam mengangkat mayat seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang lemas selepas tergelincir di Kunci Tali Air Sungai Jarum, Banting.

Kuala Lumpur: Sikap degil segelintir masyarakat yang enggan mengikut arahan dikeluarkan pihak berkuasa merisikokan nyawa mereka sendiri terutamanya ketika kejadian banjir, air pasang dan angin bergelora di laut.

Ketua Cawangan Program Kesedaran dan Keselamatan Awam Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Nik Zulkifli Ibrahim berkata, segelintir individu tidak mempedulikan arahan pihak berkuasa.

“Contohnya kejadian banjir, bila arahan meninggalkan rumah dikeluarkan mereka perlu berbuat demikian mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Begitu juga di pantai, apabila tanda amaran (bendera merah) dinaikkan ataupun makluman dikeluarkan. Masyarakat perlu segera meninggalkan kawasan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mentaliti berkenaan perlu dikikis ataupun dibuang sepenuhnya masyarakat kerana kerjasama diberikan mereka bukan saja akan memudahkan proses penyelamatan sebaliknya mengurangkan risiko kematian.

Dalam perkembangan berkaitan, Nik Zulkifli berkata, buat penggemar aktiviti air mereka perlu bersedia dan mengetahui risiko yang bakal dihadapi.

“Apatah lagi ketika musim cuti sekolah ini, sudah tentu ramai ibu bapa membawa anak mereka ke pantai dan tasik untuk beriadah.

“Jadi, berhati-hatilah dan patuhilah setiap arahan yang dikeluarkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Katanya, jika seseorang individu itu berdepan situasi untuk menyelamatkan mangsa lemas, perkara pertama yang perlu dilakukannya adalah tidak panik.

“Analisis kemampuan diri sendiri dan punca lemas mangsa itu sebelum bertindak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2016 @ 9:10 AM