KEADAAN banjir di Jerantut. FOTO Roselan Ab Malek
KEADAAN banjir di Jerantut. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


Jerantut: Tujuh kematian akibat di Pahang sejak seminggu lalu perlu jadi iktibar kepada orang ramai khususnya penduduk yang tinggal berhampiran kawasan dinaiki air.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, di Jerantut sudah ada tiga kes dengan kejadian terbaru semalam, apabila remaja berusia 15 tahun lemas ketika bermain banjir bersama rakan di Kampung Sangkoh, Kuala Tembeling.

Katanya, sebelum itu, seorang lelaki dan anak turut lemas di Sungai Puas, Kampung Gintong disebabkan banjir.

Beliau berkata, terdapat juga dua kes lemas di Lipis diikuti masing-masing satu kes di Temerloh dan Maran.

"Jadi saya mohon orang ramai sentiasa patuh arahan daripada pihak berkuasa terutamanya mengawasi pergerakan anak-anak daripada bermain air.

"Pengusaha bot tambang diingatkan supaya menyediakan jaket keselamatan kepada penumpang bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Mazlan berkata, orang ramai juga perlu berhati-hati terhadap binatang buas dan berbisa yang mungkin berada di kawasan rumah.

Katanya, penduduk yang tidak terjejas dengan banjir disarankan supaya kekal di rumah sekiranya tiada keperluan dan tidak datang ke kawasan banjir untuk bermain air.

"Pengguna jalan raya diingatkan supaya berwaspada terhadap kejadian pokok tumbang, tanah runtuh dan kenaikan paras air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

"Walaupun berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), hendaklah sentiasa patuhi arahan kerajaan berkaitan prosedur operasi standard pencegahan Covid-19," katanya.

Mazlan berkata, penduduk yang tinggal di tepi sungai perlu berjaga-jaga kerana paras air sungai sentiasa menurun dan menaik di tiga lokasi iaitu Stesen Kuala Tahan di Sungai Tembeling, Stesen Sungai Yap di Sungai Pahang dan Stesen Jeram Bungor di Sungai Jelai.

Katanya, jalan utama yang masih ditutup ialah Jalan Jerantut-Lipis dan Jerantut-Kuala Krau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 11:38 AM