Mohd Yunos (tengah, duduk) bersama pasukan MUST di Padang Kawad, Akademi Bomba Wakaf Tapai, Marang.
Mohd Yunos (tengah, duduk) bersama pasukan MUST di Padang Kawad, Akademi Bomba Wakaf Tapai, Marang.
Nazdy Harun

Marang: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menerima dua helikopter jenis Agusta Westland (AW189) buatan Itali pada tahun depan dan 2018, sekali gus bakal meningkatkan perkhidmatan unit udara jabatan berkenaan.

Penolong Ketua Pengarah Bahagian Udara JBPM, Mohd Yunos Abu Hassan berkata, dengan penerimaan dua unit helikopter itu, jumlah aset dimiliki jabatan ialah sembilan helikopter.

Menurutnya, tujuh helikopter yang dimiliki ketika ini iaitu dua Mi-17-iV, Mi-171 (dua), Agusta AW139 (dua) dan sebuah Agusta A109E yang digunakan dalam pelbagai tugasan kebombaan.

Katanya, empat daripada helikopter berkenaan ditempatkan di Pengkalan Udara Subang, dua di Miri, Sarawak serta sebuah lagi di Bertam, Pulau Pinang.

“Dengan adanya aset berkenaan, JBPM turut melatih anggota bagi Pasukan Pelbagai Kemahiran (MUST) untuk menguasai selok-belok maklumat berkaitan helikopter terutama di lapangan dengan menyediakan kawasan pendaratan helikopter ketika melakukan operasi.

“Ketika ini, MUST terdiri daripada 560 anggota dan setiap negeri sekurang-kurangnya mempunyai 30 anggota yang boleh digerakkan apabila operasi membabitkan helikopter di negeri masing-masing,” katanya selepas Pentauliahan Logo MUST Kepada Peserta Kursus MUST di Akademi Bomba dan Penyelamat JBPM Wakaf Tapai, di sini, semalam.

Menurutnya, sebanyak 14 operasi dijalankan membabitkan Unit Udara JBPM sehingga Jun lalu termasuk usaha mencari dan menyelamat (SAR), kebakaran hutan dan banjir.

“Unit Udara JBPM ialah pasukan elit jabatan yang dipertanggungjawab melaksana operasi menggunakan pesawat dan kawasan pengoperasian meliputi seluruh negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 9:58 AM