LENGAI (tengah) diselamatkan menggunakan penerbangan ihsan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), semalam. FOTO Ramli Ibrahim
LENGAI (tengah) diselamatkan menggunakan penerbangan ihsan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), semalam. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


DUA penduduk Orang Asli yang kritikal di dua kampung di Gua Musang dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) menerusi dua penerbangan ihsan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), petang semalam.

Dua helikopter daripada Pangkalan Udara Subang digunakan membawa wanita yang mengadu sakit mahu bersalin dan bayi lelaki berusia enam bulan yang mengalami cirit-birit serta demam panas ke hospital itu berikutan hubungan jalan darat ke kampung mereka terputus.

Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM Subang, Penolong Penguasa Mohd Farhan Marzuki berkata, penerbangan pertama menyelamatkan Lengai Asop, 25, yang hendak bersalin anak pertama di Kampung Tendrik, Pos Bihai menggunakan helikopter Agusta A109E pada 3.15 petang.

Manakala, katanya, penerbangan kedua menyelamatkan bayi lelaki iaitu Rohan Andok kerana mengalami cirit-birit dan demam panas di Kampung Sedal, Pos Simpor menggunakan helikopter Agusta W139 pada 4 petang.

"Kita menerima maklumat daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak berhubung pesakit kritikal itu pada 8 pagi sebelum mengadakan dua penerbangan ihsan berkenaan.

"Operasi berjalan lancar dan dua pesakit terbabit sedang menjalani rawatan di HGM," katanya hari ini.

Menurutnya, berdasarkan rekod, sepanjang tahun lalu, pihaknya mengadakan lebih 20 penerbangan ihsan bagi menyelamatkan pesakit kritikal Orang Asli di Gua Musang.

"Keutamaan penerbangan ihsan diberikan kepada pesakit kritikal Orang Asli dengan mengambil kira penempatan mereka jauh dengan bandar dan masalah perhubungan jalan darat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 11:59 AM